Pegang al Quran tidak fahami apa tersurat – OKU

- Advertisement -

KOTA BHARU: “Bila lihat sahabat baca al Quran, kita ada perasaan takut dan ngeri kerana hormat, tetapi bila kita pegang ayat al Quran kita tidak memahami apa yang tersurat dan tersirat.

- Advertisement -

“Jadi saya harap agar pihak kerajaan boleh membantu merangka aktiviti supaya kami boleh memahami ilmu yang terkandung dalam al Quran seperti orang lain,” kata wakil Persatuan Orang Pekak Kelantan (POPK), Hirda Ayu Mohd Akhir.

Beliau berkata, ada rakan-rakan OKU boleh membaca al Quran, namun isi kandungan dan mesej ayat tidak difahami.

Kata beliau al Quran merupakan sebuah kitab yang kaya dengan ilmu dan khazanah yang terkandung secara tersurat dan tersirat sebagai panduan umat Islam sepanjang zaman.

Namun golongan Orang Kurang Upaya (OKU) pekak, buta dan bisu tidak mendapat pendedahan mengenai keindahan syariat yang terkandung dalam al Quran.

Oleh itu Hirda Ayu meminta kerajaan negeri melakukan inisiatif bagi membantu golongan terbabit memahami ilmu dan khazanah yang terkandung dalam kitab suci tersebut.

Beliau membangkitkan perkara itu pada Dialog Strategik Pembinaan Tamadun Kelantan siri empat yang bertajuk Insan Istimewa, Nikmat Sejahtera anjuran Pusat Kajian Strategik (PKS) secara atas talian hari ini.

Sebanyak lima persatuan OKU pelbagai sektor tampil memberi idea dalam membina tamadun yang mampu memberi kesan serta manfaat kepada semua pihak termasuk insan istimewa.

Ahli panel dialog itu iaitu Pengarah Institut Pemikiran Tok Guru, Dato’ Dr Johari Mat dan Penasihat Majlis Persefahaman Pertubuhan OKU Kelantan, Mohammad Faizal Che Yusof.

Dialog itu dipengerusikan Pengarah PKS Dr Wan Nik Wan Yussof.

Dr Wan Nik berkata, dialog itu bertujuan untuk melihat semula perjalanan dasar pentadbiran kerajaan negeri yang dijadikan asas untuk mengembangkan lagi agenda pembinaan tamadun pelbagai segmen rakyat. – HARAKAHDAILY 6/5/2021

- Advertisement -