Pedoman Al-Quran: Elak penyesalan di akhirat

- Advertisement -

KEHIDUPAN semasa di dunia perlu dipenuhi dengan ketaatan kepada Allah SWT. Setiap amal keburukan akan disesali apabila telah meninggal dunia khasnya apabila berhadapan di mahkamah Allah kelak. Penyesalan manusia ketika di akhirat ini dinyatakan oleh Allah melalui firman-Nya:

- Advertisement -

أَن تَقُولَ نَفۡسࣱ یَـٰحَسۡرَتَىٰ عَلَىٰ مَا فَرَّطتُ فِی جَنۢبِ ٱللَّهِ وَإِن كُنتُ لَمِنَ ٱلسَّـٰخِرِینَ. أَوۡ تَقُولَ لَوۡ أَنَّ ٱللَّهَ هَدَىٰنِی لَكُنتُ مِنَ ٱلۡمُتَّقِینَ

Maksudnya: “(Diperintahkan demikian) supaya jangan seseorang (menyesal dengan) berkata: sungguh besar sesal dan kecewaku kerana aku telah mencuaikan kewajipan-kewajipanku terhadap Allah serta aku telah menjadi dari kalangan orang-orang yang memperolok-olokkan (agama Allah dan penganut-penganutnya). Atau dia berkata: Kalaulah Allah memberi petunjuk kepadaku, tentulah aku telah menjadi dari kalangan orang-orang yang bertakwa”. (Al-Zumar: 56-57)

Sesungguhnya dosa yang dilakukan oleh manusia jika bersabit dengan manusia lain, maka wajib diselesaikan sebelum berpindah ke alam barzakh. Setiap amalan yang kita lakukan akan berkurangan di akhirat akibat berpindah ganjaran tersebut kepada orang yang kita pernah lakukan kesalahan tanpa sempat kita memohon kemaafan. Hal ini diberi peringatan oleh Rasululah SAW melalui sabdanya:

مَنْ كَانَتْ عِنْدَهُ مَظْلَمَةٌ مِنْ أَخِيهِ مِنْ عِرْضِهِ أَوْ مَالِهِ فَلْيَتَحَلَّلْهُ الْيَوْمَ قَبْلَ أَنْ يُؤْخَذَ حِينَ لَا يَكُونُ دِينَارٌ وَلَا دِرْهَمٌ، وَإِنْ كَانَ لَهُ عَمَلٌ صَالِحٌ أُخِذَ مِنْهُ بِقَدْرِ مَظْلَمَتِهِ، وَإِنْ لَمْ يَكُنْ لَهُ أُخِذَ مِنْ سَيِّئَاتِ صَاحِبِهِ فَجُعِلَتْ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Barangsiapa pernah melakukan kesalahan terhadap saudaranya, sama ada yang berkait dengan kehormatannya atau hartanya, hendaklah dia segera meminta dihalalkan kepadanya sebelum datang suatu hari yang sudah tidak ada lagi dinar dan dirham. Ketika itu, jika dia memiliki amalan soleh, amalan solehnya diambil darinya dan diserahkan kepada saudaranya sesuai dengan kadar pelanggaran yang pernah diperbuatnya. Namun, jika dia tidak memiliki amal-amal kebaikan, kesalahan-kesalahan saudaranya itu diambil, lalu dipikulkan kepadanya”. (Riwayat Al-Bukhari, Al-Tirmizi dan Ahmad)

Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi melalui bukunya, Al-Waqtu Fi Hayat Al-Muslim menyatakan bahawa kelak manusia akan menyesali sikapnya yang tidak memanfaatkan waktu untuk mengabdikan diri kepada Allah bahkan masanya banyak dipenuhi dengan aktiviti kemaksiatan. Ada manusia yang menyesal semasa datangnya sakaratul maut dan dia meronta ingin kembali ke dunia. Terdapat juga manusia yang memohon kepada Allah ketika dibangkitkan di akhirat untuk kembali ke dunia bagi mengerjakan amal kebaikan.

Hakikatnya di akhirat kelak, kita semua ingin menyelamatkan diri sendiri dan tidak rela pun untuk memberikan sekelumit pahala kepada orang lain, hatta kepada orang yang disayangi. Penyesalan yang akan dialami di akhirat pula tidak sebanding dengan penyesalan ketika di dunia. Disebabkan itu, Rasulullah SAW meninggalkan banyak pesanan kepada umat manusia tentang bagaimana untuk berjaya hidup di dunia dan akhirat.

Setiap yang bernyawa akan menyesal apabila dibangkit pada hari akhirat kelak. Bagi orang yang telah melakukan amal soleh, dia menyesal kerana tidak perbanyakkan amal solehnya, manakala orang yang melakukan kejahatan akan menyesal kerana tidak meninggalkan perbuatan jahatnya semasa di dunia. Rasulullah SAW sentiasa memberi ingatan tentang perkara ini supaya umatnya sentiasa beringat. Sabda Nabi SAW:

 مَا مِنْ أَحَدٍ يَمُوتُ إِلاَّ نَدِمَ. قَالُوا وَمَا نَدَامَتُهُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ إِنْ كَانَ مُحْسِنًا نَدِمَ أَنْ لاَ يَكُونَ ازْدَادَ وَإِنْ كَانَ مُسِيئًا نَدِمَ أَنْ لاَ يَكُونَ نَزَعَ

Maksudnya: “Tidaklah seseorang itu mati melainkan dia akan menyesal. Orang-orang bertanya, Ya Rasulullah, apa penyesalannya? Baginda menjawab, Jika dia orang baik, dia menyesal mengapa tidak bertambah (kebaikannya). Jika dia orang jahat, dia menyesal mengapa tidak meninggalkan (kejahatannya)”. (Riwayat Tirmizi)

Seseorang hamba Allah itu sewajarnya menjaga adab dengan Allah SWT dengan sentiasa memohon keampunan pada setiap ketika. Manusia yang tidak beradab lagi bebal ialah apabila nyawanya sudah berada di halqum, ketika itulah dia mula menyesal. Ketahuilah bahawa penyesalan hidup di dunia boleh diatasi apabila seseorang itu sentiasa mengerjakan ketaatan dan bertaubat kepada Allah. Setiap kesalahan terus dipohon keampunan daripada Allah dan kemaafan dengan manusia agar perbuatan itu tidak dituntut ketika di akhirat kelak. Jika persediaan ini dibuat, maka insya-Allah akan terselamat daripada golongan yang menyesal di akhirat nanti.

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
24 Ramadhan 1442/06 Mei 2021 – HARAKAHDAILY 6/5/2021

- Advertisement -