Minyak masak: PAS Johor ucap tahniah kepada KPDNHEP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Badan Perhubungan PAS Negeri Johor mengucapkan tahniah kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya dan KPDNHEP negeri kerana telah berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi yang dianggarkan bernilai RM15 juta dalam serbuan di sebuah kilang perindustrian di Jalan Sagai 6, Taman Pasir Putih di Pasir Gudang, baru-baru ini.

Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, difahamkan bahawa syarikat itu telah beroperasi sejak enam bulan yang lalu.

- Advertisement -

Menurutnya, dalam tempoh tersebut dianggarkan antara 500,000 ke satu juta peket diselewengkan sebulan sepanjang tempoh itu.

“Ini kes pertama dan terbesar tahun ini dapat dibongkar kegiatan sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi setelah risikan dilakukan selama sebulan,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, minyak masak bersubsidi itu bukan sahaja diseleweng malah ia disyaki bekalan minyak masak disediakan bagi tujuan eksport.

Tambahnya, adalah amat malang minyak masak untuk kegunaan rakyat Malaysia diseleweng untuk kegunaan orang luar.

Sebelum ini, kata beliau PAS Johor telah menerima pelbagai aduan mengenai kesukaran pengguna untuk mendapatkan bekalan minyak masak di pasaran khususnya di negeri Johor yang melibatkan minyak masak bersubsidi yang dilaporkan sukar untuk diperolehi di pasaran.

“PAS Johor menggesa supaya semua pihak yang terlibat dalam penyelewengan ini termasuklah syarikat-syarikat yang terlibat dalam memanipulasi minyak masak yang telah disubsidi oleh kerajaan ini disiasat dan didedahkan kepada umum serta diambil tindakan yang sewajarnya,” ujarnya.

Beliau berharap agar kejayaan menumpaskan sindiket itu akan dapat melumpuhkan sindiket yang disyaki menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan minyak masak di pasaran.

Namun begitu, ujarnya pemantauan yang berterusan hendaklah diteruskan pada masa hadapan supaya tidak ada pihak yang akan mengambil kesempatan terhadap perkara yang sama.

Dalam masa yang sama, katanya PAS Johor menggesa supaya KPDNHEP dapat membuat pemantauan secara berterusan terhadap harga jualan minyak masak yang berada di pasaran supaya peniaga tidak mengambil kesempatan terhadap pengguna

Beliau berkata, peniaga yang menaikkan harga tanpa mematuhi perundangan pencatutan boleh didakwa melakukan kesalahan mencatut melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 melalui perundangan pencatutan. – HARAKAHDAILY 6/5/2021

- Advertisement -