Masjid mukim di Gua Musang dibenar solat Jumaat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Solat Jumaat, fardu dan tarawih di masjid-masjid mukim di Gua Musang dibenarkan dengan 70 peratus daripada kapasiti masjid selepas penjarakan dua meter.

Bagaimanapun aktiviti lain termasuk tazkirah, tadarus al Quran, iktikaf dan lain-lain tidak dibenarkan.

Kebenaran itu memandangkan kes Covid-19 menunjukkan penurunan di jajahan Gua Musang. Bagaimanapun semua masjid mukim, surau dan musalla selain di Gua Musang masih lagi ditutup.

- Advertisement -

Namun imam tua, imam muda, bilal dan siak dihendaki hadir bertugas untuk solat Jumaat, fardu dan di masjid, surau dan musalla masing-masing.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, perkara itu mendapat ampun perkenan Sultan Muhammad V.

Katanya solat Jumaat, fardu dan solat tarawih di masjid negeri, bandar dan jajahan di seluruh Kelantan dibenarkan 70 peratus dengan penjarakan fizikal dua meter.

“Kebenaran adalah bagi memberi peluang kepada kaum muslimin dan muslimat untuk beribadat di masjid-masjid tersebut di hari-hari terakhir Ramadan.

“Bagaimanapun aktiviti lain termasuk tazkirah, tadarus al Quran, iktikaf dan lain-lain adalah tidak dibenarkan,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Menurutnya semua arahan itu berkuatkuasa 6 Mei ini (24 Ramadan) sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Oleh itu Maik berharap mendapat kerjasama semua pihak terutamanya umat Islam bagi melaksanakan ketetapan prosedur operasi standard (SOP) tersebut.

“Tindakan sewajarnya akan diambil di atas kegagalan untuk mematuhi SOP tersebut. Bersama-samalah kita istiqamah dan yakin bahawa Allah SWT pasti membantu dan memperkenankan doa serta harapan kita semua,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 6/5/2021

- Advertisement -