Hanya 30 peratus bekerja di pejabat mulai Ahad

KOTA BHARU: Hanya 30 peratus penjawat awam dan kakitangan swasta boleh bekerja di pejabat bermula Ahad ini, manakala selebihnya bekerja dari rumah.

Perkara itu diputuskan bagi memperketatkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengelak jangkitan Covid-19 di tempat kerja.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, pelaksanaannya akan bermula pada Ahad.

Advertisement

“Manakala yang bekerja dari rumah perlu memastikan mereka berada di rumah dan bukannya keluar di tempat awam,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Penyelarasan Khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri di MABNA di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Kelantan Dato’ Shafien Mamat dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dato’ Dr Zaini Hussin.

Dr Izani berkata, keputusan itu dibuat berikutan kes jangkitan Covid-19 setiap hari tinggi antara 400 hingga 500 kes.

Sehubungan itu beliau mengingatkan rakyat menjaga SOP ketika berniaga atau membeli di gerai di tepi-tepi jalan.

“Penjarakan gerai di tepi jalan perlu ada sekurang-kurangnya tiga meter. Kerajaan akan menjalankan penguatkuasaan di gerai tepi jalan bagi memastikan semua pihak mematuhi SOP ditetapkan,” katanya.

Beliau turut menafikan kerajaan negeri memohon untuk mengadakan ‘lockdown’ seperti yang ditularkan di media sosial dan media masa.

Hari ini sebanyak 326 kes harian Covid-19 direkodkan di Kelantan dan menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 16,177 kes.

Dr Izani berkata, terdapat dua kluster baharu direkodkan hari ini di Kelantan.

Menurutnya kadar kebolehjangkitan (Rt) di Kelantan adalah sama dengan Rt Nasional iaitu 1.09.

“Covid-19 berada dalam komuniti. Terus patuhi SOP yang ditetapkan demi kebaikan bersama. Tubik rumah pakai mask, kelik rumah basuh tangan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 6/5/2021