Dilema ketandusan pemikir dan perangka polisi awam

- Advertisement -

SETELAH satu dekad berlalu fenomena Arab Spring, beberapa badan pengkaji AS siap menganalisis dan mengemukakan kajian terkini sebagai cadangan dasar luar AS.

Salah satu yang saya kira penting untuk kita teliti ialah kertas kerja cadangan terbitan RAND Corporation pada tahun 2021, bertajuk Reimagining US Strategy in the Middle East. Membaca kajian dasar luar tersebut membuatkan kita merenung beberapa dilema umat.

Kurangnya pergantungan sesama negara umat Islam dalam menyelesaikan pelbagai isu peringkat internasional

- Advertisement -

Kelemahan ini membuka ruang untuk musuh mengambil kesempatan membeli jiwa umat atas nama bantuan kemanusiaan. Subtopik kajian juga menggariskan soal Sustainable Partnerships, Strategic Investments. Dalam kertas kerja berkali-kali disentuh soal ‘pelaburan’ untuk mengukuhkan kedudukan AS.

Dilema sengketa mazhab Syiah vs kemampuan Iran-Syiah menggugat AS

Mengulas kegagalan sekatan ekonomi dan campur tangan militari AS selama 40 tahun dalam mengekang pengaruh Iran-rangkaian kumpulan Syiah. Mereka mula mahu mendekati Iran secara lunak, membatalkan sekatan visa rakyat Iran, agar program pertukaran pelajar, promosi budaya AS dan lain-lain dapat dijalankan ke atas Iran. Kita pula masih belum berjaya mendidik umat agar memisahkan soal kesesatan Syiah dan kemampuan Iran menggugat AS.

Dilema yang dikatakan ‘Penchinaan Malaysia’ vs kemampuan China dan Rusia selaku pesaing AS di peringkat global

China ada isu dengan saudara Islam Uyghur. Pada masa yang sama, China semakin meningkat naik menyaingi ekonomi AS dan berpengaruh di negara-negara tertentu mengatasi AS. Mengambil kira keseluruhan faktor tersebut meletakkan kita dalam dilema yang perlu diurus penuh cermat.

Kita mahu berhenti menjadi mangsa manipulasi propaganda AS. Pelan mereka mencatur umat agar berperang untuk melawan musuh mereka, menguntungkan AS. Pada masa yang sama, kita juga tidak mahu menghilangkan rasa ghirah atau marah cemburu atas dasar mempertahankan agama dan maruah umat. Juga berfikir lebih jauh dan matang, tidak sekadar bertanya:

‘Apa salahnya? AS beri bantuan, kita ambil. AS hapuskan sekatan, kita puji. AS beri tekanan pada China, kita tepuk tangan. Apa salahnya?’

Kalau kita sudah tidak merasa bersalah, usah pula menyalahkan mereka yang masih mahu berfikir.

SOFIA ALWANI ALI
6 Mei 2021 – HARAKAHDAILY 6/5/2021

- Advertisement -