Bubur ‘hijau merah’ tanda teguh muafakat PAS-Umno

- Advertisement -

TEMERLOH: PAS Kawasan dan Umno Bahagian bagi Parlimen Temerloh terus memperteguhkan semangat Muafakat Nasional menerusi program Bubur Lambuk Perdana di Taman Sri Kerinau Paya Pulai, di sini baru-baru ini.

- Advertisement -

Kolaborasi kedua pihak dipimpin Yang Dipertua PAS Temerloh, Md Jusoh Darus dan ADUN Kuala Semantan, Dato’ Norazmi Mat Ludin telah berjaya menyediakan 3,000 pek bubur lambuk secara gotong-royong pimpinan dan ahli.

Hadir sama memeriahkan pautan ukhuwah dan semarak Ramadan ini adalah Dewan Pemuda, Ulamak dan Muslimat PAS serta Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno, selain badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Program bertujuan menyemarakkan hubungan PAS-Umno bersama warga penduduk Parlimen ini merupakan anjuran julung kali sejak termeterainya Piagam Muafakat Nasional di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur, 14 September 2019.

“Alhamdulillah hubungan PAS dan Umno, Muafakat Nasional di Temerloh sangat baik. Hubungan dijalin berlandaskan piagam Muafakat Nasional di peringakat nasional dan hubungan yang terjalin mesra di negeri Pahang berasaskan roh penyatuan ummah tersebut.

“Semoga hubungan yang terjalin ini akan terus diperkukuh dan direalisasikan dalam pelbagai tindakan kerajaan di pelbagai peringkat sehinggalah kepada pilihan raya dan penyertaan PAS yang lebih kukuh di dalam kerajaan negeri.

“Di Temerloh khususnya, rakyat di berbagai peringkat terutamanya orang Melayu Islam sangat gembira dengan hubungan erat Muafakat Nasional ini.

“Pastinya segenap lapisan masyarakat ingin melihat hubungan ini terus erat dan kukuh bagi memastikan penyatuan ummah yang sebenar dapat direalisasikan,” ujar Timbalan Yang Dipertua PAS Temerloh, Hasanuddin Salim. – HARAKAHDAILY 6/5/2021

- Advertisement -