YDPA jamin kebebasan Suruhanjaya bawah Perlembagaan

perlembagaan
- Advertisement -

CADANGAN pelantikan jawatan utama seperti Peguam Negara, Ketua Polis Negara dan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia oleh Parlimen merupakan suatu langkah ke belakang yang mengakibatkan sistem tiga cabang utama kuasa yang dipopularkan sebagai doktrin pemisahan kuasa tercabar.

Di bawah kuasa YDPA dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan terdapat tiga cabang utama yang melaksanakan fungsi kuasa Baginda, iaitu badan-badan Legislatif, Eksekutif dan Kehakiman. Setiap cabang tersebut mempunyai bidang kuasa seperti termaktub dalam Perlembagaan yang mendukung sistem politik berpersekutuan.

- Advertisement -

Menyerahkan pelantikan pegawai utama di atas akan melebarkan fungsi Parlimen yang sepatutnya memfokuskan aktiviti perbahasan dan penggubalan undang-undang serta kelulusan di peringkat dasar. Selain itu pendekatan sedemikian akhirnya tidak akan mampu untuk menangani campur tangan politik kepartian kerana pembentukan suatu Jemaah Menteri juga dipengaruhi oleh komposisi undi di Parlimen.

Sebaliknya, solusi kepada polemik kebebasan Suruhanjaya daripada campur tangan kepartian dapat diuruskan jika pelantikan ahli Suruhanjaya di bawah Perlembagaan tidak tertakluk pada nasihat Perdana Menteri. Justeru pelantikan ahli Suruhanjaya selain penjawat yang dinamakan oleh peruntukan Perlembagaan seeloknya dibuat oleh YDPA menurut budi bicara Baginda atas syor Ketua Setiausaha Negara setelah merundingi Majlis Raja-raja (MRR), tidak seperti amalan sekarang.

Selanjutnya adalah lebih wajar jawatan utama seperti Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Timbalan Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM dibuat oleh YDPA atas syor Suruhanjaya masing-masing setelah berunding dengan MRR, tanpa nasihat Perdana Menteri. Jawatan-jawatan selain itu bolehlah dilantik oleh YDPA menurut budi bicara Baginda atas syor Suruhanjaya, atau secara alternatifnya dengan hanya nasihat Suruhanjaya berkenaan sahaja. Tatacara baharu tersebut dapat menjamin kebebasan Suruhanjaya walaupun pengerusinya dalam kalangan ahli Jemaah Menteri. Mekanisme yang dicadangkan ini tidak mudah kerana memerlukan pindaan Perlembagaan yang tertakluk pada Perkara 159.

Pelantikan seperti disarankan seperti di atas secara tidak langsung dapat mengelakkan pengaruh yang keterlaluan tanpa menafikan penglibatan seorang Menteri. Pindaan untuk membenarkan selain Menteri sebagai Pengerusi Suruhanjaya pastinya agak radikal namun begitu ia tidak mustahil jika ahli Majlis Parlimen mempunyai ‘political will’sedemikian, walaupun syarat-syaratnya ketat.

Pada masa kini YDPA masih tertakluk pada nasihat Perdana Menteri yang pastinya sukar untuk sebuah Suruhanjaya bertindak benar-benar bebas. Ada baiknya fungsi setiap cabang dipelihara di peringkat tertinggi ini. Dalam pada itu cadangan untuk mengembalikan budi bicara YDPA setelah diikat dengan Perkara 40(1A) mempunyai kebaikan tertentu kerana Baginda masih berpandukan syor atau nasihat MRR mahupun Suruhanjaya.

Pada hakikatnya campur tangan politik tidak boleh dielakkan kerana urusan pemerintahan negara adalah urusan politik. Namun begitu pengaruh politik kepartian masih boleh diuruskan jika komposisi sebuah Suruhanjaya itu dilihat bebas serta tiada ikatan dengan nasihat Perdana Menteri.

Dalam masa yang sama pandangan Perdana Menteri masih boleh diberikan pertimbangan yang sewajarnya oleh YDPA. Itulah kelebihan yang ada dalam sistem Perlembagaan yang mendukung Kedaulatan Raja-raja dan prinsip keluhuran Perlembagaan.

DATUK DR WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN
Pengasas Jurispruden Watan merangkap Profesor Madya Fakulti Pengurusan Industri, UMP – HARAKAHDAILY 5/5/2021 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -