Tolonglah rakyat Pasir Mas…

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata rekahan-rekahan baharu muncul setiap hari di Kampung Pohon Chelagi, Pasir Mas.

Katanya, ada yang menunggu masa untuk terus jatuh ke bawah dengan keadaan tanah runtuh yang semakin kritikal.

“Situasi semakin kritikal. Rakyat di lokasi ini semakin bimbang, kehadiran musim tengkujuh seawal bulan Oktober semakin hampir.

“Jika banjir datang dalam situasi ini, tidak apat dibayangkan apa akan berlaku,” ujarnya yang meninjau lokasi berkenaan, pagi semalam.

- Advertisement -

Menerusi satu hantaran di laman Facebooknya semalam, beliau melahirkan kesyukuran kerana kerajaan negeri telah bertindak membayar sewa rumah penduduk-penduduk terlibat.

Katanya, Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) juga telah datang mengisytiharkan peruntukan RM60 juta khusus dari kerajaan Persekutuan untuk tujuan baik pulih segera sebelum datangnya musim banjir.

“Dua bulan sudah berlalu (sebetulnya tiga bulan selepas insiden), kerja-kerja baik pulih masih tidak nampak bayang,” ujarnya lagi.

Menurutnya, pagi semalam beliau menghubungi Pengarah JPS Negeri Kelantan, Encik Kamal Mustapha dan bertanya khabar dengan Setiausaha Politik Menteri KASA, Dr Mohd Zuhdi Marzuki, juga beberapa pihak di KASA dan EPU, nampaknya masih tergendala urusan teknikal untuk proses tender itu.

“Saya mohon semua pihak di peringkat pentadbiran, tolonglah percepatkan urusan tawaran tender n,” katanya lagi.

Tambahnya, sekarang bulan Mei dan selepas hari raya, tinggal dua minggu ke bulan Jun.

“Masuk bulan Jun, pejam celik pejam celik masuk bulan Julai, Ogos, September… akhir September bermulalah hujan lebat rapat ke Disember atau Januari,” ujarnya.

Justeru, beliau meminta semua pihak supaya permudahkan segala urusan.

“Menteri KASA sudah buat pengumuman, Menteri EPU pun dah buat pengumuman, kerajaan negeri pun sudah ambil tindakan setakat bidang kuasanya, alhamdulillah dan terima kasih banyak,” katanya.

Tinggal lagi, ujar beliau urusan-urusan teknikal yang nampaknya masih tidak berjalan.

Beliau berkata, jika banjir datang, yang menderitanya ialah rakyat Pasir Mas dan semua pengumuman itu tidak lagi bererti.

“Semua pihak, tolonglah. Saya akan terus menghubungi pihak-pihak berkaitan. Kalau kena rentas negeri pun, kali ini kita rentas,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 5/5/2021

- Advertisement -