Tiada kepakaran memasak, namun berjaya hasil pes oden

- Advertisement -

BACHOK: Dua sahabat daripada Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berjaya mencipta nama menerusi produk perencah yang dikenali King Oden.

Resipi popuar dari negara matahari terbit itu turut tular di media sosial sehingga berjaya mencecah jualan bernilai RM950,000 tahun lepas.

Bermula dengan menjual oden yang sedia dimakan di tapak gerai keusahawanan pelajar, dua pelajar UMK terbabit kini boleh berbangga dengan produk keluaran mereka.

- Advertisement -

Perencah King Oden itu diusahakan Imer Jibril Mohd Nasir dan rakan kongsinya, Wan Azehan Helmi Wan Abdul Halim.

Lebih membanggakan lagi hasil kerja keras mereka berjaya memiliki sebuah kilang pemprosesan yang terletak di Bachok.

Imer Jibril baharu menamatkan pengajian tahun lalu dan Wan Azehan Helmi pelajar tahun akhir di FKP.

Usaha itu cukup mengagumkan kerana kedua-dua pelajar berkenaan bukan memiliki kepakaran memasak, namun berjaya menghasilkan pes oden yang digemari ramai.

Imer Jibril ketika ditemui berkata beliau dan rakan kongsi mula mengasaskan perniagaan perencah oden segera berjenama King Oden bermula pada 2019.

“Pada awalnya, kami bermula dengan menjual oden sedia dimakan di tapak gerai keusahawanan pelajar yang disewa di bawah seliaan Pusat Pembangunan Pendidikan Keusahawanan (CEED), Institut Kesahawanan UMK (UMKEI) yang terletak di UMK Pengkalan Chepa.

“Pendapatan hasil jualan oden yang diusahakan secara kecil-kecilan itu mencecah sekitar RM1,000 ke RM1,500 sehari,” ujarnya.

Bagaimanapun katanya setiap kali cuti semester hasilnya terjejas kerana ketiadaan pelajar di kampus.

Bermula dari situ Jibril dan Wan Azehan Helmi mendapat idea untuk mengkomersialkan produk perencah oden segera dengan jenama King Oden secara paket bagi mengembangkan lagi pasaran perniagaan.

“Alhamdullilah, strategi kami berjaya dan bermula dari situlah, kira-kira 30,000 paket King Oden diedarkan di seluruh negara setiap bulan melalui 500 ejen yang dilantik bagi pasaran secara online dan offline.

“Perencah King Oden dijual dengan harga RM10 satu pek untuk tiga jenis perisa iaitu asli, pedas dan asam laksa di mana menerima sambutan luar biasa,” ujarnya.

Menurutnya ada ketikanya stok pengeluarannya habis dalam tempoh yang singkat.
Dua sahabat ini mula menjadi rakan kongsi sejak tahun pertama menuntut di UMK pada 2017. – HARAKAHDAILY 5/5/2021

- Advertisement -