Sisa enap cemar logam berat LRA cemar Sungai Prai?

- Advertisement -

PERTUBUHAN Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang (LEKAS) melahirkan kebimbangan serius terhadap pengurusan enap cemar (sludge) yang mengandungi mendakan logam berat yang diragui dialirkan masuk ke Sungai Prai daripada Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua, Pulau Pinang.

LEKAS mendapat laporan bahawa LRA Sungai Dua beroperasi tanpa kolam takungan enap cemar (sludge lagoon). Hasil penelitian rambang pihak LEKAS juga mendapati kolam takungan tersebut seperti tidak wujud. Dalam satu artikel Network on Water Technology in Asia Pacific (NewTap) telah dilaporkan;

- Advertisement -

“Sungai Dua Water Treatment Plant (SDWTP) does not treat the backwash water and sludge generated. Backwash water from filters and sludge produced from Sedimentation, DAF, and Clarifier systems are channeled into the Perai River without any treatment.” (Vjayan dan Vel ,2016, p. 8)

Oleh yang demikian, LEKAS menggesa Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) untuk memberi penjelasan segera mengenai perkara ini. Ini kerana sisa enap cemar bagi LRA kebiasaannya mengandungi logam berat aluminium adalah dikategorikan sebagai Buangan Terjadual (Scheduled Wastes) dalam Jadual 1: SW204 mengikut Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling 2005 di bawah Akta 127.

[SW204 : Enap cemar yang mengandungi satu atau beberapa logam termasuklah kromium, kuprum, nikel, zink, plumbum, kadmium, aluminium, timah, vanadium dan berilium – Sludges containing one or several metal including chromium, copper, nickel, zinc, lead, cadmium, aluminium, tin, vanadium and beryllium]

Pembuangan sisa enap cemar logam berat terus ke dalam sungai (jika berlaku) akan membahayakan kesihatan penduduk sekitar Sungai Prai dan menjejaskan alam sekitar serta ekosistemnya serta jelas melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (akta 127).

LEKAS sangat berharap siasatan daripada Jabatan Alam Sekitar dapat dilaksanakan. Pihak Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi portfolio alam sekitar dan kesihatan juga digesa untuk mengambil tindakan sewajarnya demi kesihatan rakyat dan kesejahteraan alam seiring dengan komitmen ‘Cleaner, Greener, Safer and Healthier Penang’.

Sekian, Terima Kasih

ZIKRULLAH ISMAIL
Pengerusi Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang – LEKAS 
(Chairman, Penang Sustainable Natural Heritage Association) – HARAKAHDAILY 5/5/2021

- Advertisement -