Ramai masih tak percaya COVID-19 ada atau tidak?

- Advertisement -

SEMALAM 4 Mei 2021. Semalam kematian kerana COVID-19 meningkat kepada 23 orang berbanding kelmarin iaitu 18 orang. Saya rasa sedih. Saya ini orang kampung saja. Tinggal di Muar. Jauh dari kesibukan kota raya. Setiap hari saya tengok banyak komen di Facebook, di media, di Instagram mengenai COVID-19. Ramai yang tidak puas hati dengan pihak kerajaan, pihak KKM, pihak polis, pihak itu dan pihak ini.

Banyak isu panas termasuk isu saman, isu VVIP rentas negeri, isu karpet. Ramai yang menghentam kerana mereka tak balik raya dan membandingkan mengapa orang itu boleh dan kami tak boleh. Saya tak mahu masuk campur mengenai perkara itu semua. Cuma nasihat saya, janganlah menggunakan perkataan maki hamun bila di media sosial lebih lagi kini adalah 10 Ramadan terakhir.

- Advertisement -

Kita jaga kita 

Saya adalah salah seorang pesakit COVID-19. Mulanya saya tak percaya saya kena penyakit ini. Alasan utama saya adalah saya telah betul-betul mematuhi penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan tidak bersalaman.

Saya juga tinggal di kampung dan hanya berjumpa orang yang sama setiap hari, ahli keluarga, pekerja dan orang kampung. Boleh saya katakan saya hanya berjumpa 20 peratus orang lain. Kebarangkalian kebolehjangkitan itu saya fikir kecil.

Saya bernasib baik, hanya saya sahaja dijangkiti penyakit ini. Isteri dan anak-anak saya tak kena. Saya hanya kuarantin di rumah sahaja selama saya demam. Saya fikirkan macam kena Denggi.

Lambat ke hospital 

Alasan utama saya adalah saya rasa ianya hanya demam biasa. Walaupun demam itu teruk. Berpapan-papan panadol saya telan. Pergi ke klinik dan ambil ubat. Badan tetap panas, loya, lemah sendi, demam itu akan lebih teruk termasuk pening yang kuat bila waktu malam.

Satu hari saya sudah tak tahan. Jam 2 pagi saya ke hospital. Saya ke sebuah hospital swasta. Prosedur masuk ke hospital mesti swab COVID-19. Saya didapati positif COVID-19. Saya terduduk dan seolah tak percaya. Apa yang lebih merisaukan saya adalah bagaimana anak dan isteri saya.

Paginya saya menghubungi KKM hotline. Saya dilayani dengan baik. Pegawai menghubungi saya pagi dan petang memastikan keadaan saya. Keluarga saya diarah swab test COVID-19. Alhamdulilah semuanya negatif. 

Hari seterusnya saya tak tahan, isteri saya gorengkan ayam saya, berbau busuk. Saya sudah tak selera makan. Sebenarnya sudah 6 hari dari hari pertama saya demam. Saya nasihatkan jika ada gejala COVID-19 anda jangan tunggu lagi dan cepat ke hospital. 1 jam kemudian ambulan datang ke rumah dan bawa saya ke hospital.

Sampai hospital saya didapati kritikal dan perlu ditidurkan dan perlu menggunakan mesin bantuan pernafasan. Saya dikejarkan ke wad ICU. Tika itu saya dah tak boleh fikir. Keputusan bukan lagi pada saya. Keputusan adalah pada doktor dan pakar. Saya tahu risiko yang akan saya hadapi tapi saya serahkan pada Allah.

Hari ini saya nak menegur segelintir rakyat kita yang mempermainkan frontliner yang sebenarnya telah bertungkus lumus. Saya saksikan sendiri selama lebih sebulan di wad ICU COVID.

Subahanallah.
Allahuakbar.
Alhamdulillah.

Bagaimana mereka mengorbankan diri mereka merawat pesakit. Penyakit ini mudah berjangkit. Mungkin saya kena bukan bersemuka. Mungkin saya hanya duduk di kerusi yang sama pesakit COVID. Maksudnya mereka jururawat menggadaikan nyawa mereka sendiri. Lebih lagi melawat kerenah pesakit yang pelbagai.

Allah beri peluang kedua

Saya dipengsankan selama 10 hari. Saya berada di stage 5. Biasanya kumpulan ini penyumbang terbanyak statistik kematian akibat COVID-19. Saya adalah pesakit yang berisiko tinggi. Bila demam, bacaan kencing manis saya naik dan tak stabil hingga ke 28. Badan saya besar dan mempunyai penyakit yang sebenarnya mungkin saya tak ketahui.

Terima kasih sayang

Terima kasih saya ada pasukan doktor dan jururawat Hospital Muar. Mereka yang beri saya semangat bila saya lemah, mereka buat saya ketawa bila saya sedih, mereka yang mandikan saya dan rawatkan saya. Mereka yang suapkan saya bila saya tak daya untuk makan sendiri.

Saya harap sangat janganlah ramai lagi yang kena penyakit ini. Penyakit ini sangat jahat. Mungkin Allah pilih saya untuk terus hidup supaya saya dapat menyampaikan pengalaman saya. Ianya sakit. Saya jumpa simpang antara hidup dan mati. Saya faham cerita ustaz mengenai mimpi sakaratul maut.

Saya nampak apa yang orang lain tak nampak

Saya mengadu dengan doktor dan nurse ada seorang pesakit lain keluar masuk ke kawasan ini tanpa memakai PPE. Pesakit itu seorang wanita yang sedikit berumur. Menggunakan katil berhadapan dengan saya. Setelah beberapa kali saya mengadu seorang doktor menjerkah saya ‘En Bahar. Cuba istighfar, cuba baca apa yang encik tahu. Cik cuba baca ayat Kursi. Mana ada orang lain dekat sini. Encik seorang saja di sini.’

Saya terkejut dan memejamkan mata saya. Saya membaca ayat yang teringat di kepala saya. Saya baca ayat Kursi. Setelah saya buka mata saya rupanya benar tak ada pesakit lain kecuali saya dalam bilik itu.

Setelah hari ini, ada yang lain datang. Dua beranak duduk di sudut, seorang uncle India. Saya cakap dengan mereka. Saya doakan mereka, duduklah di situ tapi jangan kacau saya. Walaupun ada doktornurse datang merawat saya tetap ‘mereka’ ada di situ. Ianya adalah ilusi saya sendiri.

Bersambung…

BAHARUDDIN MOHAMED – HARAKAHDAILY 5/5/2021

Sumber asal: https://www.facebook.com/1549534296/posts/10226361916184806/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -