Polis Selangor tingkat SJR di daerah PKP, PKPB

- Advertisement -

SHAH ALAM: Polis Selangor akan mempertingkatkan jumlah sekatan jalan raya (SJR) di setiap daerah sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini, yang bermula esok sehingga 17 Mei ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata SJR tersebut bertujuan menyekat sebarang aktiviti rentas negeri atau daerah daripada berlaku terutamanya menjelang Aidilfitri.

- Advertisement -

“Selain SJR, pemantauan di bazar Aidilfitri, pusat beli-belah dan tempat tumpuan orang ramai akan turut dipertingkatkan bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Arjunaidi menasihati orang ramai supaya terus mematuhi SOP ditetapkan dan mengamalkan disiplin kendiri.

Beliau menegaskan pergerakan merentas negeri dan daerah tidak dibenarkan sama sekali kecuali atas urusan kecemasan bagi daerah yang terlibat PKP iaitu Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang.

Bagi PKPB pula, ia akan dilaksanakan di tiga daerah iaitu di Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor, katanya. – BERNAMA

- Advertisement -