Petugas barisan hadapan jelas keletihan – Dr Zulkifli

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Dr Zulkifli Muhamad al Bakri sanggup meredah kesejukan awal pagi semata-mata mahu menyantuni petugas barisan hadapan.

Malam tadi beliau bersama Ketua Pegawai Eksekutif YADIM Ustaz Tuan Kamarul Tuan Soh dan Sukarelawan YADIM mengunjungi lima lokasi bagi menyampaikan sumbangan juadah sahur.

- Advertisement -

Katanya, mereka singgah di Sekatan Jalan Raya (SJR) Kajang, SJR Bangi, SJR Bandar Seri Putra, Balai Polis Bangi dan Balai Bomba dan Penyelamat Bangi.

“Alhamdulillah 100 pek ayam Goreng KFC, Kurma Ajwa dan air mineral diserahkan kepada petugas di lokasi tersebut.

“Melihat raut wajah anggota barisan hadapan jelas mereka amat keletihan. Jauh daripada keluarga dan sudah pasti tidak dapat menikmati 10 malam terakhir Ramadan seperti kita,” katanya pada catatan di laman sosialnya.

Bagaimanapun beliau yakin apa yang mereka korbankan tersebut dianggap sebagai ibadah yang tinggi nilainya di sisi Allah SWT.

Katanya juga ketika singgah di Balai Polis Bangi beliau bertemu pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Islam yang beratur untuk memohon pulang ke kampung halaman.

“Saya berikan duit raya kepada mereka dan meminta sampaikan salam kepada ibu ayah di kampung halaman,” ujarnya

Beliau juga berkata, agensi-agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan terus menjalankan misi #RamadhanPrihatin sehingga akhir bulan Ramadan.

Menurutnya juga beliau akan keluarkan kad laporan khusus untuk masyarakat meneliti perbelanjaan yang dikeluarkan pada Ramadan bagi manfaat rakyat.

Dr Zulkifli turut mempelawa orang ramai yang ingin menyumbang program dakwah YADIM boleh salur melalui akaun Maybank – 566010625428 atas nama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia. – HARAKAHDAILY 5/5/2021

- Advertisement -