Pelarian terharu ketika PASRelief hulur bantuan

KUALA LUMPUR: Kebakaran yang memusnahkan sebahagian Kem Pelarian Rohingya, Cox’s Bazar Bangladesh sebelum Ramadan lepas menyebabkan penghuninya berdepan kesukaran bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Kebakaran besar itu mengorbankan 15 orang, 560 cedera dan 400 orang lagi dikesan hilang berikutan kejadian itu.

Lebih teruk lagi sekurang-kurangnya 50,000 pelarian terjejas di mana mereka tiada lagi tempat untuk berteduh.

Advertisement

Kebakaran tersebut dilaporkan memusnahkan 12,000 rumah termasuk khemah dan kedai di kem pelarian tersebut.

Ekoran itu PASRelief tampil meneruskan misi Bantuan Kebakaran Rohingya 2.0 dengan membina tiga rumah lagi di Bangladesh.

Sebelum ini PASRelief membina enam rumah di kem pelarian tersebut. Bantuan tersebut sebahagian usaha bagi membantu mangsa ekoran kebakaran besar yang berlaku pada 22 Mac lepas di kem tersebut.

PASRelief dalam kenyataan di laman sosialnya berkata, kedatangan 1 Syawal yang tidak lama lagi kebiasaannya disambut dengan meriah.

Namun katanya bukan semua umat Islam bernasib baik ekoran ujian yang menimpa mereka.

“Terlukis riak gembira di wajah mereka ketika PASRelief datang menghulurkan bantuan.

“Setiap keluarga dibina sebuah rumah dengan harga setiap rumah kira-kira RM1,645. InsyaAllah bantuan akan diteruskan sehingga saudara Muslim Rohingya selamat dan mendapat tempat perlindungan,” katanya.

Hampir sejuta penduduk Islam yang ditindas di Myanmar melarikan diri ke Bangladesh pada 2017 dan kini ditempatkan di kem-kem di tenggara daerah Cox’s Bazar.

Oleh itu orang ramai diajak membantu etnik terbabit dengan menghulurkan sumbangan melalui Maybank Islamic atas nama Tabung Kemanusiaan Antarabangsa – 564070611352 atau PASRELIEF – 564070612333. – HARAKAHDAILY 5/5/2021