Pedoman Al-Quran: Kecapi keberkatan usia

- Advertisement -

PENGHAYATAN melalui Juz 23 hari ini memfokuskan ayat dalam Surah Yasin yang mengaitkan proses kehidupan manusia setelah semakin berumur. Manusia akan mengalami kelemahan seperti asal kejadiannya daripada semua sudut termasuklah akal fikiran. Firman Allah SWT:

- Advertisement -

وَلَوۡ نَشَاۤءُ لَمَسَخۡنَـٰهُمۡ عَلَىٰ مَكَانَتِهِمۡ فَمَا ٱسۡتَطَـٰعُوا۟ مُضِیࣰّا وَلَا یَرۡجِعُونَ. وَمَن نُّعَمِّرۡهُ نُنَكِّسۡهُ فِی ٱلۡخَلۡقِۚ أَفَلَا یَعۡقِلُونَ

Maksudnya: “(Kekuatan akal fikiran mereka juga tidak sihat) dan kalau Kami kehendaki, Kami berkuasa merubah keadaan jasmani mereka (menjadi kaku) di tempat yang mereka berada padanya. Maka dengan itu, mereka tidak dapat mara ke hadapan dan juga tidak dapat undur ke belakang. Dan (hendaklah diingat bahawa) sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, Kami balikkan kembali kejadiannya (kepada keadaan serba lemah). Maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya?” (Yāsin: 67-68)

Al-Syinqithi telah menjelaskan melalui tafsir Adwha’ Al-Bayan bahawa pada mulanya Allah SWT menciptakan manusia dalam keadaan jasad yang lemah, tidak mampu berfikir dan tidak berilmu. Kemudian Allah menjadikan mereka berpindah daripada suatu keadaan kepada keadaan lain hingga sempurna kekuatannya, berakal serta berilmu. Sehingga sampai kepada kemuncak hidup iaitu apabila mereka sudah terlalu tua, Allah kembalikan semula kepada keadaan sepertimana seorang bayi. Begitulah proses hidup manusia, tiada yang kekal dengan kekuatannya dan boleh berbangga dengan kesempurnaan yang dimiliki.

Kehidupan dunia sementara ini memerlukan kepada usaha ketaatan kepada Allah SWT. Sekiranya memiliki usia yang panjang, namun diisi dengan ketaatan maka akan tergolong dalam kalangan manusia yang terbaik. Hal ini sebagaimana hadis daripada Abdullah bin Busr, berkata bahawa seorang Badwi bertanya: Ya Rasulullah, siapakah manusia yang paling baik? Jawab Rasulullah SAW:

مَنْ طَالَ عُمُرُهُ ، وَحَسُنَ عَمَلُهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang usianya panjang dan baik amalannya.” (Riwayat Al-Tirmizi)

Kita hendaklah sentiasa memohon kepada Allah agar dielakkan daripada Arzalil Umur atau usia yang tersangat tua dan tidak mampu lagi beribadah. Usia panjang namun menghadapi pelbagai penyakit akan menjadi penghalang untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Oleh itu, Rasulullah SAW sentiasa berdoa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَأَعُوذُ بِكَ أَنْ أُرَدَّ إِلَى أَرْذَلِ الْعُمُرِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الدُّنْيَا وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku mohon berlindung dengan-Mu daripada sifat penakut dan aku berlindung dengan-Mu daripada aku dikembalikan kepada tahap yang amat tua dan aku berlindung dengan-Mu daripada fitnah dunia dan aku berlindung dengan-Mu daripada azab kubur”. (Riwayat Al-Bukhari)

Berdasarkan hadis tersebut, Syeikh Al-Mubarakfuri telah menukilkan daripada al-‘Aini, salah seorang Syārih kepada Sahih Bukhari katanya; manusia akan kembali kepada keadaan Al-kharaf (الخرف) di mana ia seperti keadaan awalnya pada zaman kanak-kanak, serba dhaif dari segi kekuatan dan lemah dari segi akal serta kurang faham. Oleh itu, perlunya doa yang dipanjatkan ke hadrat Allah bagi mengelakkan daripada pelbagai penyakit terutamanya Alzheimer yang membantutkan banyak urusan pengabdian diri kepada Allah SWT.

Orang yang ditimpa sakit pada usia tuanya termasuk penyakit alzheimer yang menyebabkan ingatan semakin berkurangan dan hilang, maka Islam memberi rukhsah mengikut kemampuannya. Kebiasaannya penyakit Alzheimer pada tahap pertama dan kedua yang masih boleh ingat dan mampu dengan bantuan, maka kewajipan ibadat tetap berlaku ke atasnya. Sebaliknya, jika berada pada tahap ketiga atau akhir sehingga alami kelupaan yang parah, maka ketika itu ia dianggap sebagai ma’zur yang bebas daripada taklifan.  Semoga Allah SWT sentiasa memelihara jasad dan ingatan kita untuk terus beribadah kepada-Nya.

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
23 Ramadhan 1442/05 Mei 2021 – HARAKAHDAILY 5/5/2021

- Advertisement -