PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan memperketatkan operasi di perairan negara menerusi Ops Khas Pagar Laut sepanjang musim perayaan bermula 3 hingga 23 Mei ini.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia Kelantan, Komander Maritim Khairun Dalilah Baharin berkata, operasi itu untuk mengekang kegiatan jenayah di laut berkaitan penyeludupan bahan terlarang.
Selain itu katanya mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari negara jiran serta kemasukan nelayan asing.
Kata beliau Maritim juga menambah aset-aset Maritim terutamanya membabitkan kawalan keselamatan yang akan digunakan untuk memantau sempadan maritim negara dengan lebih kerap.
“Maritim Malaysia juga akan melaksanakan penggiliran tugasan kawalan dan pemantauan supaya berjalan dengan lancar.
“Pihak Maritim sedaya upaya laksanakan sebaik mungkin, maksudnya ada rotation supaya ada pergiliran dalam setiap masa, maksudnya setiap hari mesti ada kapal atau bot di laut untuk menjaga perairan negara.
“Jadi untuk tempoh perayaan Aidilfitri ini Maritim Malaysia akan perketatkan sempadan untuk mengawal kemasukan bunga api dan mercun,” katanya kepada pemberita semasa melakukan rondaan di perairan Kelantan menggunakan Kapal Maritim (KM) Amanah malam tadi.
Menurutnya juga Maritim menambah aset-aset di kawasan sempadan termasuk melaksanakan operasi khas Ops Pagar Laut bermula 3 hingga 23 Mei ini sempena Hari Raya Aidilfitri. – HARAKAHDAILY 5/5/2021