Laluan tikus sempadan Besut-Kelantan sukar kawal kes Covid

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Berlaku peningkatan kes Covid-19 di Besut, Terengganu dengan tujuh kematian setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, empat pesakit Covid-19 dari Besut berada di wad ICU.

Menurutnya, kes telah merebak hampir kesemua mukim di Besut termasuk kes-kes aktif.

Tambahnya, tiga bazar Ramadan terlibat termasuk sebuah bank dan fasiliti kesihatan.

- Advertisement -

Beliau yang juga Adun Jabi berkata, laluan tikus yang banyak di sempadan Besut-Kelantan menyukarkan lagi untuk pengawalan.

“Maka demi untuk mengawal penularan wabak, kita tak ada justifikasi dan hujah yang kuat lagi untuk pertahankan agar tak diadakan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) di seluruh Besut,” ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau, hari ini.

Beliau menambah, sedaya yang mampu kepimpinan kerajaan dari Besut telah cuba untuk berhujah mempertahankan agar tidak dikuatkuasakan PKP di daerah itu.

“Akhirnya walaupun berat kita perlu akur bahawa sesuatu tindakan perlu dibuat untuk kepentingan umum.

“Kemungkinan kita perlu bersabar untuk tempoh dua minggu mendatang menghadapi PKP sekali lagi.

“Tunggu pengumuman rasmi dari pihak berwajib. Insya-Allah kami sentiasa bersama rakyat melalui hari-hari sukar ini,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 5/5/2021

- Advertisement -