Jangan biar Kedah berpatah balik PKP 1.0

- Advertisement -

ALOR SETAR: Rakyat Kedah diingatkan agar tidak keluar rumah sesuka hati terutama bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti demam, batuk dan selesema.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pematuhan itu penting untuk mengekang wujudnya kluster baharu Covid-19 sekiranya mereka hadir ke tempat-tempat orang ramai.

“Sekali lagi saya tegaskan bagi mereka yang tidak sihat, demam, batuk, selesema jangan hadir ke tempat orang ramai.

- Advertisement -

“Sama ada ke masjid, Bazar Ramadan, Bazar Aidil Fitri, majlis tadarus, majlis bacaan Yaasin, kenduri dan majlis berbuka puasa,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman hari ini.

Larangan itu kata beliau berikutan sebelum ini ada individu yang tidak sihat hadir ke tempat orang ramai dan akhirnya mencipta beberapa kluster baharu Covid-19.

Ujar beliau gejala itu turut melibatkan majlis tadarus di beberapa tempat sehingga membawa implikasi penularan wabak Covid.

“Dia tahu dirinya tak sihat tapi ‘gagah’ pi juga. Kalau orang Sik kata ‘tebeng’. Tok sah dok tebeng gi kalau tak sihat. Dok rumah kawal diri. Jangan jadi pencetus tapi jadilah pemutus,” katanya.

Sanusi turut melahirkan rasa kesal kerana terdapat pengunjung Bazar Ramadan dan Aidilfitri yang membawa anak kecil bersama.

Oleh itu beliau berharap pihak yang mengendalikan premis tersebut lebih tegas untuk mempastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi.

“Membenarkan dua bazar tersebut beroperasi seperti kita melintasi sebatang titi dibuat dari kayu bulat yang dibina di atas tanah yang lembut, sangat berisiko dan mudah jatuh atau tergelincir ke lembah Covid.

“Tetapi kita terpaksa melintas untuk membenarkan sektor ekonomi bergerak dan perniagaan dapat dilakukan,” tambah beliau.

Menteri Besar juga berkata, oang ramai termasuk pengunjung dan peniaga perlu patuhi SOP dengan amalkan penjarakan, pakai pelitup, membuat imbasan MySejahtera dan memeriksa suhu badan.

Di samping itu pesannya pastikan tidak lebih daripada dua pelanggan dalam kedai dalam satu masa.

Langkah itu katanya supaya tidak tercetus kluster lain pula sama ada Bazar Ramadan atau Aidilfitri.

“Jadi risiko membenarkan premis ini beroperasi perlu diminimumkan dengan mematuhi SOP.

“Sekiranya semua pihak dapat bekerjasama pastinya Kedah tidak perlu berpatah balik kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 sebelum ini,” ujarnya.

Menteri Besar juga berkata, 97 peratus katil di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar sekarang dipenuhi pesakit Covid-19. – HARAKAHDAILY 5/5/2021

- Advertisement -