Jamuan Hari Raya Menteri Besar Kedah dibatal

- Advertisement -

ALOR SETAR: Orang ramai diingatkan patuh larangan tidak boleh rentas negeri terutama untuk pulang berhari raya di kampung.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kes positif Covid-19 kebelakangan ini meningkat hingga menyebabkan hospital berhadapan masalah menampung jumlah pesakit yang semakin ramai.

Katanya, larangan rentas negeri atau daerah bertepatan seperti mana pesan Nabi Muhammad s.a.w supaya tidak keluar atau masuk ke kawasan yang ditimpa wabak.

- Advertisement -

“Saya harap semua rakyat Kedah dapat bersabar. Keadaan tidak mengizinkan lagi sekarang,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Aman, hari ini.

Beliau juga berkata, bukan mudah untuk memastikan setiap orang mematuhi Prosedur Operatsi Standard (SOP) yang ditetapkan.

“Memang susah nak jaga orang hidup. Habaq pun tak mau dengaq. Tetapi lagi susah bila jaga orang yang kena Covid,” katanya.

Semalam kerajaan mengumumkan beberapa SOP menyambut Aidilfitri, antaranya tidak dibenarkan aktiviti takbir raya dari rumah ke rumah yang menjadi budaya kebanyakan negeri di selatan Semenanjung Malaysia.

Manakala solat sunat Aidilfitri dibenarkan di masjid dan surau dengan mematuhi SOP, namun aktiviti kunjung mengunjung dihadkan kepada 15 orang tetamu sahaja.

Sanusi juga berkata, Kedah tidak ada budaya takbir rumah ke rumah namun bertakbir di masjid atau surau perlu mematuhi SOP dikeluarkan Majlis Agama Islam Kedah.

“Tahun ini jamuan Hari Raya Menteri Besar pun saya batal. Awal tu cadang nak buat tapi sebab PKP tak jadilah. Takut cetus kluster baharu pula di samping duit pun dapat dijimatkan,” jelas beliau lagi.

Sanusi turut mengucapkan Selamat Hari Raya kepada rakyat Kedah dan memohon segala kemaafan.

“Andai ada salah silap, kekasaran, melawak, sengaja tak sengaja, terlajak atau sebagainya pada sesiapa jua pun, harap dimaafkan.

“Biasalah manusia ada kelemahan dan saya juga memaafkan kalau ada sesiapa yang buat salah terhadap saya tetapi saya tidak maafkan orang yang tulis perkara yang saya tak kata,” sambung beliau. – HARAKAHDAILY 5/5/2021

- Advertisement -