Dua pemain Kelantan FC positif Covid-19

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dua pemain Kelantan FC didapati positif Covid-19 dan perlawanan Liga Premier 2021 melibatkan pasukan itu bertemu Perak FC II Jumaat ini ditunda ke satu tarikh baharu yang akan diumumkan kelak.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan berkata kedua-dua pemain itu didapati positif setelah menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum perlawanan menentang Selangor FC II di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Isnin lalu serta tidak diturunkan pada perlawanan itu.

- Advertisement -

“Pemain lain tidak berdepan masalah dan status mereka adalah negatif Covid-19 tetapi perlawanan Kelantan FC bertemu Perak II terpaksa dipinda.

“Ini kerana naratif kuarantin yang dituntut oleh Kementerian Kesihatan (KKM) selama 10 hari dan tempoh itu melepasi tarikh jadual perlawanan mereka Jumaat ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pihak sekretariat MFL akan meneliti punca kes positif Covid-19 itu untuk dibawa ke mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL bagi tindakan susulan.

Dalam pada itu, Ab Ghani turut mengumumkan MFL akan mengadakan empat perlawanan Liga Super dan Liga Premier tanpa penonton susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Empat perlawanan itu melibatkan dua aksi Liga Super antara UiTM FC dan Kuala Lumpur City FC di Stadium UiTM, Shah Alam pada 8 Mei dan Selangor FC menentang Terengganu FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 9 Mei ini.

Dua lagi perlawanan yang akan berlangsung tanpa penonton adalah aksi Liga Premier antara Skuad Projek Persatuan Bola Sepak Malaysia – Majlis Sukan Negara dan Terengganu FC II di Stadium UiTM Shah Alam pada 7 Mei dan Selangor FC 2 menentang PDRM FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras pada 8 Mei.

Dengan mengambil kira ketetapan PKP itu, tiada jualan tiket perlawanan dibenarkan dan tiket-tiket yang telah terjual akan dibayar balik oleh pihak TicketHotline International.

Ab Ghani berkata pihak mereka akan mengetatkan pematuhan SOP dengan mengaktifkan semula SOP Pengelolaan Perlawanan Tanpa Penonton bagi kawasan PKP. – BERNAMA

- Advertisement -