Dahulu DAP label Umno sebagai kleptokrat

- Advertisement -

KOTA BHARU: DAP akan melakukan apa sahaja demi untuk mentadbir kembali Putrajaya termasuk berusaha mendapat sokongan pengundi Melayu.

Naib Presiden PAS Senator Idris Ahmad berkata, DAP tahu mereka solid boleh mendapat sokongan orang bukan Melayu terutamanya pengundi Cina.

Bagaimanapun katanya untuk mendapat undi Melayu DAP berdepan dengan kesukaran.

“Jadi harapan mereka mencari jalan supaya parti yang boleh pecah undi Melayu bagi mencapai impian untuk berkuasa semula di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum (PRU) 15.

- Advertisement -

“Sekarang DAP memberitahu mereka sudah boleh bekerjasama dengan Umno. Sedangkan pada PRU14 Umno digelar oleh DAP sebagai kleptokrat.

“Menjelang PRU15 pula Bersatu digelar pengkhianat. Ini kisah menarik. Ada udang di sebalik mee Kuala Sepetang,” katanya catatan di media sosialnya.

Portal berita melaporkan Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke memberitahu parti itu komited menyokong Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH).

Selain itu kekal dengan pendirian untuk bekerjasama dengan pihak lain termasuk Umno pada PRU15.

Idris juga berkata, beliau yakin Umno tidak semudah itu kerana ahli Umn terkenal sebagai antiDAP.

Katanya Umno diyakini tidak akan menerima pelawaan jajaran tersebut.

“Malah PAS ada pengalaman dengan DAP. Begitu juga Tun Dr Mahathir sudah ada pengalaman. Bersatu sudah ada pengalaman dengan DAP.

“DAP tahu kalau Melayu berpecah, peluang untuk berkuasa semula di Putrajaya cerah. Kalau Melayu bersatu harapan mereka untuk kembali berkuasa sukar,” katanya.

Sedangkan kata beliau apa yang berlaku Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini jelas parti it menolak sebulat suara kerjasama dengan DAP.

Katanya juga sekarang DAP meletakkan PAS musuh nombor satu kerana berusaha untuk menyatukan orang Islam Melayu, di mana secara tidak langsung akan menyekat DAP dan PH berkuasa di Putrajaya.

Malah menurutnya impian DAP mendidik PAN sebagai pengganti PAS masih tidak berjaya.

“Maka cubaan memancing Umno untuk bersama dengan DAP cuba dilakukan. Tempoh 22 bulan mimpi ngeri rakyat Malaysia, semoga tidak berulang,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/5/2021

- Advertisement -