COVID-19: Emosi vs realiti

- Advertisement -

SAYA lihat ramai netizen dan rakyat Malaysia yang tidak lagi peduli dengan ancaman COVID-19 di negara kita. Ada yang kata COVID-19 hanya rekaan, ada yang tidak berpuas hati dengan penguatkuasaan.

Akibatnya, ramai yang putus asa dan tidak lagi mematuhi SOP yang ditetapkan. Trend ini amat membimbangkan kami para petugas kesihatan.

Saya percaya ini berlaku sebab ramai rakyat Malaysia yang belum faham betapa seriusnya situasi perkhidmatan kesihatan Malaysia sekarang dalam menangani COVID-19. Jadi, saya mohon sangat-sangat anda baca dan fahamkan apa yang saya akan tulis ini.

- Advertisement -

Apabila sesebuah negara dilanda sesuatu wabak, termasuk COVID-19, perkhidmatan kesihatan di negara tersebut akan mengalami fasa-fasa seperti berikut:

Fasa I

Apabila kes harian meningkat, maka kes-kes kritikal pun semakin meningkat. Di Malaysia, kajian menunjukkan, bagi setiap 1000 kes COVID-19;

– 60 pesakit memerlukan bantuan oxygen

– 37 pesakit akan dimasukkan ke ICU

– 13 pesakit dijangka tidak dapat diselamatkan.

Fasa II

Peningkatan kes-kes kritikal akan menyebabkan katil ICU penuh, dan terpaksa ditambah. Walaupun hanya dengan mobilisasi staf dan kebiasaannya tiada pertambahan staf baru, dan hanya mengubahsuai wad lain yang sedia ada menjadi “ICU”.

Fasa III

Bila katil ICU telah penuh (walaupun setelah ditambah), kes-kes kritikal terpaksa dirawat di wad biasa, yang kualiti perawatan dan pemantauannya sudah tentu tidak sebaik di ICU. Namun dalam keadaan terdesak, ini terpaksa dilakukan, walaupun serba kekurangan.

Fasa IV

Bila wad-wad biasa telah penuh, kes-kes kritikal ini akan terkandas dan terpaksa dirawat di wad kecemasan. Perlu diingat, wad kecemasan juga terpaksa merawat kes-kes kecemasan lain selain dari kes COVID-19!

Fasa V

Bila wad kecemasan tak mampu lagi menampung jumlah pesakit kritikal yang terlalu ramai, pesakit-pesakit kritikal akan terkandas di perkarangan hospital. Ahli keluarga akan merayu supaya pesakit mendapat rawatan dan terpaksa mencari-cari sebalang oxygen demi untuk menyambung nyawa.

Fasa VI

Apabila pesakit kritikal tidak mendapat rawatan, kebanyakan mereka akan mati.

Inilah yang telah berlaku di India. Dan percayalah, tidak mustahil akan berlaku di Malaysia. Saya sendiri terlibat secara langsung dengan perawatan dan pengurusan pesakit COVID-19 yang kritikal. Paling menakutkan, saya sendiri menyaksikan betapa perkhidmatan kesihatan di Malaysia sedang bergerak dari satu fasa ke satu fasa yang disebutkan di atas, seperti yang telah berlaku di India!

Jangan menyesal jika tak lama lagi rakyat Malaysia akan bertempiaran ke sana sini merayu untuk dirawat di hospital yang sudah sedia sesak dengan pesakit, mencari ikhtiar untuk meneruskan hidup dalam keadaan nafas berada di hujung kerongkong.

Apa yang perlu kita lakukan?

1) Bezakan antara kemarahan politik dengan rasional terhadap realiti situasi kesihatan semasa negara.

Rakyat Malaysia boleh marah pada kerajaan, pada penguatkuasa. Tetapi, jika kemarahan itu membuatkan rakyat Malaysia memberontak dan melanggar SOP sedia ada, seterusnya memburukkan lagi situasi jangkitan COVID-19 di Malaysia ini, siapa yang rugi? Siapa yang susah?

Jangan sampai ibu atau ayah atau anda sendiri yang dibiarkan tenat di luar hospital tanpa rawatan, baru hendak menyesal!

Sebagai rakyat Malaysia yang sayangkan negara ini, sekalipun marah, bertindaklah dengan rasional dan terus patuhi SOP yang ada. Hanya dengan cara itu kita boleh menang melawan COVID-19 dan memulihkan perkhidmatan kesihatan kita yang kian terbeban.

Jika anda terus patuh pada SOP, ia akan menjadi pembakar semangat buat kami para petugas kesihatan untuk terus berkhidmat siang dan malam merawat para pesakit COVID-19, yang juga rakan-rakan anda, ahli keluarga anda dan mungkin diri anda sendiri.

2) Fahamkan lingkungan sosial anda akan perkara di atas supaya mereka juga faham dan sama-sama terus menjaga diri dan keluarga daripada terus dilanda bencana COVID-19 yang melumpuhkan.

Hanya dengan menyedari realiti yang membimbangkan ini dan bertindak dengan rasional, kita boleh menang, Insha-Allah.

3) Daftar diri anda dan ahli keluarga anda sebagai penerima vaksin COVID-19, dan dapatkan suntikan vaksin tersebut untuk kita sama-sama mencapai herd immunity (immuniti kelompok) di negara kita Malaysia.

Mohon sebarkan dan sama-sama kita faham dan praktikkan.

Hanya kita boleh jaga kita. – HARAKAHDAILY 5/5/2021

Penulis ialah Pakar Perubatan Klinikal.

- Advertisement -