BARU-baru ini kita diberitakan dengan kenyataan mantan Ketua Polis Negara, yang perlu kita adili dengan cermat betapa kita perlu kembali kepada sistem Islam. Apa yang diutarakan oleh beliau hanya boleh diselesaikan dengan kewujudan Wilayah al Mazolim.
Sistem Malaysia terdapat kekurangan, iaitu pelantikan Peguam Negara, Ketua Hakim Negara dan setarafnya adalah ‘atas nasihat Perdana Menteri’, contohnya Perkara 145. Dalam masa yang sama, Suruhanjaya Pegawai Polis (SPP) ditubuhkan mengikut Perkara 140 (3)(a) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan jawatan Pengerusi kepada menteri yang bertanggungjawab ke atas pasukan polis (Menteri Dalam Negeri).
Ringkasnya, pelantikan jawatan-jawatan penguatkuasaan dan kehakiman ini tidak terlepas daripada pengaruh politik. Saya bagi contoh, sekiranya Menteri Dalam Negeri melakukan kesalahan jenayah, siapakah yang wajar menangkap beliau?
Contoh lain, sekiranya Perdana Menteri menerima rasuah, siapakah yang ‘boleh’ mendakwa beliau? Sedangkan Pendakwa Raya juga dilantik oleh Perdana Menteri, termasuk Hakim dan Peguam Negara.
Mengikut sejarah Islam, ada satu solusi bagi isu ini iaitu dengan menubuhkan Wilayah al Mazolim. Wilayah al Mazolim adalah satu institusi yang berperanan untuk membuka kepada sesiapa sahaja untuk mendakwa.
(a) Wilayah al Mazolim tertegak atas dasar pembelaan terhadap golongan yang tertindas, yang tidak dapat diselesaikan di peringkat kehakiman. Dengan kata lain ia bersifat bottom-up.
(b) Mahkamah al-Mazolim mempunyai bidang kuasa yang luas untuk mencegah kezaliman khususnya yang dilakukan oleh para pegawai, golongan berpengaruh dan bangsawan.
Antaranya kes-kes yang dibicarakan ialah;
(a) Kes-kes penganiayaan pegawai kerajaan terhadap rakyat.
(b) Aduan kes oleh pegawai rendah terhadap penganiayaan atau salah laku bosnya.
(c) Kes-kes yang lebih luas daripada institusi kehakiman itu sendiri.
Al-Mawardi menyatakan di dalam لأحكام السلطانية bahawa Wilayah al-Mazolim ini bertindak memaksa orang berlaku zalim agar meninggalkan kezalimannya dan insaf, iaitu dengan cara menakutkan mereka. Ia juga berperanan mencegah orang yang bertikai tidak meneruskan pertikaian dan persengketa.
Di dalam buku نظام الحكم في الاسلام karangan Mahmud Helmi (1973) beliau meletakkan contoh Wilayah Mazolim ketika pentadbiran Saidina Umar R.A.
Ketika itu, beliau sendiri yang mengetuai Wilayah al-Mazolim dalam membicarakan kes-kes kezaliman. Contohnya ketika musim haji, pegawai-pegawai kerajaan dipanggil untuk disoal siasat mengenai tugasan mereka dan sebab kezaliman itu berlaku.
Perbicaraan ini dilakukan di hadapan orang ramai secara terbuka. Tujuan utama perbicaraan ini dilakukan adalah untuk mengembalikan hak orang yang berhak, mengekalkan keadilan dan menghindarkan para pegawai daripada melakukan kezaliman.
Kesimpulannya, Wilayah al-Mazolim yang bersifat Bottom-Up ini memainkan peranan yang cukup besar dalam pemerintahan dan pentadbiran dalam Islam, khususnya dalam ‘Checks and Balances’.
Kekuasaannya amat penting dalam menegakkan keadilan terutama terhadap golongan yang berpengaruh dan berkuasa. Mekanisme ini amat ditekankan supaya kezaliman dapat dicegah. Dalam masa yang sama orang bawahan berasa selamat untuk mengemukakan aduan ataupun pendakwaan.
MUHAMMAD MUJAHID IR MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 5/5/2021
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.