‘Bersama kita hentikan penularan Covid-19’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru semua rakyat supaya memberikan tumpuan sepenuhnya ke arah memerangi wabak Covid-19 secara bersama.

Ini, katanya ketika ini rakyat belum menang dalam menghadapi krisis wabak Covid-19 yang semakin meruncing di negara Malaysia, malah di seluruh dunia.

“Kita berganding bahu menggalas tanggungjawab dalam membendung penularan Covid-19 dengan memainkan peranan masing-masing.

- Advertisement -

“Kita perlu bersatu padu tanpa menuding jari menyalahkan mana-mana pihak dalam menghadapi ujian ini,” ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau, hari ini.

Beliau berkata, semua pihak perlu patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Ahli Parlimen Marang itu turut mengingatkan supaya menjaga diri, keluarga dan masyarakat daripada terdedah kepada sebarang jangkitan.

Di samping, beliau menasihatkan agar mengelakkan daripada mengunjungi tempat sesak, pakai pelitup muka dan jaga penjarakan sosial.

“Kita juga perlu mengelakkan diri daripada menyebarkan maklumat palsu sehingga mengganggu ketenteraman rakyat.

“Insya-Allah kerajaan akan terus mengutamakan keselamatan dan kebajikan rakyat dalam usaha kita memutuskan rantaian wabak Covid-19,” katanya lagi.

Beliau juga menasihatkan semua warga negara untuk mendaftarkan diri bagi mendapatkan vaksin Covid-19.

“Bersama kita hentikan penularan wabak Covid-19,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 5/5/2021

- Advertisement -