Anak Kemaman pembawa Jalur Gemilang di Olimpik Tokyo

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Jaguh memanah kelahiran Terengganu, Khairul Anwar Mohamad mencatatkan sejarah baharu sebagai pembawa bendera Jalur Gemilang mewakili Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo, Jepun pada Julai akan datang.

Anak jati Kemaman itu akan bersama pemain badminton beregu campuran, Goh Liu Yang, menampilkan dua pembawa bendera negara buat kali pertama sepertimana diumumkan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, Isnin lalu.

- Advertisement -

Khairul menyifatkan ia merupakan satu penghormatan buatnya dan beliau gembira dan berterima kasih kepada Lembaga Eksekutif MOM atas penghormatan dan kepercayaan tersebut.

“Ia akan menjadi pemangkin semangat kepada saya semasa di pentas Olimpik nanti.

“Daripada segi persiapan untuk Olimpik, program latihan saya di Bukit Jalil berjalan lancar selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya ketika dihubungi pemberita.

Khairul Anuar, 29, dari Kampung Pasir Gajah, yang bertanding sebagai pemanah recurve merupakan warga Terengganu kedua diberikan penghormatan tersebut setelah digalas oleh jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizul Hasni Awang di Beijing 2008.

Sebelumnya, beliau yang juga merupakan pemenang pingat perak Kejohanan Memanah Dunia 2019 akan menyasarkan kedudukan podium bagi acaranya di Olimpik selepas menyertai London 2012 dan Rio 2016.

Tahun lepas, sempena Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2020 di Dewan Duyong Convention Centre, Duyong Marina & Resort, Khairul Anuar dan Azizulhasni Awang menerima insentif ‘Olympian’ sebanyak RM100,000 seorang.

“Saya amat berterima kasih kepada kerajaan negeri dalam inisiatif terhadap atlet Olimpik ini, saya boleh cakap buat kali pertama saya mendapat bantuan bernilai tinggi sebegini.

“Harapan saya upaya seluruh warga Terengganu dan Malaysia terus menyokong atlet Malaysia yang akan bertanding, tidak mengira sukan atau latar belakang,” katanya. – TRDI.my

- Advertisement -