Aidilfitri: Keluarga dibenar lawat penghuni penjara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keluarga penghuni penjara dibenarkan untuk membuat lawatan perjumpaan sempena Aidilfitri bermula 15 hingga 19 Mei ini, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.

Jabatan Penjara dalam kenyataan hari ini memaklumkan kebenaran perjumpaan itu bagaimanapun tidak terpakai kepada penjara yang berada dalam zon/daerah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

- Advertisement -

Kebenaran itu juga hanya tertakluk kepada keluarga terdekat dan negeri yang sama sahaja boleh melakukan lawatan perjumpaan.

“Seorang penghuni hanya dibenarkan untuk menerima sekali sahaja lawatan daripada keluarga dan lawatan perjumpaan hanya dibenarkan kepada pelawat yang membuat janji temu sahaja.

“Tempahan boleh dibuat bermula hari ini sehingga 10 Mei ini dan terdapat tiga kaedah tempahan iaitu Sistem i-Visit di laman web: www.prison.gov.my, panggilan telefon di institusi berkenaan dan e-mel atau surat ke institusi berkenaan,” menurut kenyataan hari ini.

Menurut Jabatan Penjara, pihak institusi akan menetapkan tarikh dan sesi perjumpaan selepas tempahan dibuat dan masa perjumpaan maksimum 30 minit bergantung kepada situasi institusi penjara berkaitan.

Selain itu, pelawat dibenarkan hanya dalam kalangan keluarga yang ditetapkan pihak penjara manakala pelawat berumur 12 tahun ke bawah tidak dibenar melakukan perjumpaan.

“Warga emas berumur 60 tahun ke atas tidak digalakkan dan sebarang risiko adalah tanggungan sendiri. Pelawat dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan semasa perjumpaan,” menurut kenyataan itu.

Malumat lanjut boleh didapati di laman web Jabatan Penjara Malaysia iaitu www.prison.gov.my. – BERNAMA

- Advertisement -