10 nasihat Syeikh Dr Ramadhan al-Buthi

PAGI 23 Ramadan 1442, saya ingin kongsikan nasihat dari al-Marhum Syeikh Dr. Ramadhan al-Buthi yang dipetik dari buku karangannya Bathinul Ithsmi (باطن الإثم)  10 nasihat ini bukanlah nasihat yang biasa-biasa. Ia adalah nasihat berasaskan kepada ajaran Rasulullah S.A.W. 

Yang al-Marhum petik dari Hadis-Hadis Baginda lalu disusun dengan teratur di dalam buku beliau untuk memudahkan pembacanya yang bukan pakar dan rajin mengkaji Hadis dan saya susun dan hidangkan kepada saudara atau saudari dengan gaya bahasa saya sendiri.

Advertisement

Berikut 10 nasihat beliau: 

1. Pastikan kita memulakan setiap hari kita dengan solat Subuh berjamaah di masjid atau surau. (Berusahalah walau dalam keadaan apa sekalipun kerana jika solat sunat 2 rakaat sebelum Subuh itu lebih tinggi nilainya berbanding dunia, apatah lagi solat fardu Subuh.) 

2. Apabila kita mendengar azan dikumandangkan walau di mana pun kita berada dan dalam keadaan apa sekalipun, maka bersegeralah menuju ke masjid (atau surau) untuk solat berjamaah.

3. Gunakan seluruh umur hidup kita untuk taat kepada الله  bekerja mencari rezeki halal, berusaha menambah ilmu dan beristirehat hanya untuk menghilangkan penat dan lelah sebelum kita menuju ke alam barzakh.

4. Sebelum tidur, bermuhasabahlah dan beristighfarlah memohon ampun kepada الله  kerana mungkin tidur kali ini adalah tidur untuk selamanya dan kita akan dibangunkan di dalam liang kubur. (Pastikan kita tidur dalam keadaan berwuduk.) 

5. Ketika kita mendapat nikmat atau menerima ujian, jangan lupa hakikat bahawa tidak ada yang dapat memberi manfaat dan tidak ada yang dapat menolak mudarat kecuali الله .

6. Apabila selesai solat, berwiridlah dan jangan bangun sebelum mengangkat tangan berdoa kepada الله dengan rendah hati dan rasa penuh kehinaan, memohon agar الله  tunaikan hajat, hindarkan rasa takut, dan الله  ampuni dosa-dosa kita.

7. Ketika kita rasa keseorangan ditinggalkan dan dibenci oleh manusia, jadikanlah redha الله  sebagai pengubat hati. Yakinlah bahawa itu lebih baik bagi kita berbanding hidup dalam kecintaan manusia tetapi الله  membenci kita.

8. Elakkan dari mengumpat, kerana ingatlah bahawa kita punyai banyak kecacatan yang الله  sembunyikan. Jika الله  membukanya sudah tentu kita akan jadi bahan cacian dan umpatan manusia.

9. Berusahalah sekuat tenaga untuk menyediakan hati yang suci daripada segala kotoran kebencian sebagai bekalan akhir hidup kita dalam perjalanan yang lebih panjang.

10. Ketika nafsu bergejolak mengajak untuk melakukan maksiat, ingatlah mengenai kematian kerana kematian itu akan mengecilkan ruang maksiat dan membesarkan ruang ibadah dan taat.

Hayati 10 nasihat ini untuk kita jalani kehidupan harian kita. 

MOHD FUAD MOHD SALLEH – HARAKAHDAILY 5/5/2021