Yayasan Amal, Amal Nita santuni Orang Asal

PAYA BESAR: Menyantuni Orang Asal bukanlah asing bagi Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang yang saban tahun aktiviti tersebut sentiasa dilaksanakan dalam menyampaikan risalah Islam kepada mereka.

Advertisement

Bagi menjalankan misi dakwah dan kebajikan, sebanyak 20 Bakul Amal kepada keluarga Muslim Orang Asal telah diserahkan di Kampung Gedung Siam dan Kampung Batu 56 Jalan Gambang, Kuantan, di sini kelmarin.

Delegasi ini telah diketuai Pengerusi Yayasan Amal Pahang, Johari Wahid dan wakil Amal Nita, Raudhah Bukhari yang menyempurnakan penyerahan kepada setiap ketua keluarga di dua kampung tersebut.

Amal Nita yang merupakan proksi di bawah Yayasan Amal Pahang berfokuskan kepada pembangunan dan pemerkasaan wanita dan keluarga bagi melahirkan khalifah melalui aktiviti pendidikan, kebajikan dan sosio ekonomi.

Menurut Raudhah, Yayasan Amal Pahang melalui proksi Amal Nita sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan Orang Asal di samping menggerakkan risalah dakwah kepada golongan peribumi tersebut.

“Kita berharap sumbangan ini dapat meringankan beban keluarga dan mengharapkan agar ibadah puasa kali ini dapat dijalani dengan baik,” ujarnya.

Program edaran Bakul Amal ini juga merupakan program berterusan yang dilakukan oleh Yayasan Amal Pahang hasil daripada sumbangan orang ramai.

Sumbangan untuk tujuan kebajikan dan dakwah Yayasan Amal Pahang boleh disalurkan melalui akaun Maybank 5560 1106 8015 atas nama Yayasan Amal Malaysia Pahang (Tabung bencana dan kebajikan). – HARAKAHDAILY 4/5/2021