Tabung Haji buat persiapan awal jemaah haji

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Arab Saudi sehingga sekarang belum lagi mengeluarkan kuota untuk membolehkan rakyat Malaysia menunaikan ibadat haji tahun ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Ahmad Marzuk Shaary berkata, Malaysia perlu menunggu keputusan yang akan ditetapkan kerajaan negara berkenaan.

Bagaimanapun beliau menjangka kuota jemaah dijangka berkurangan berbanding jumlah yang diberi sebelum ini iaitu seramai 40,000 orang.

- Advertisement -

“Tabung Haji sudah membuat persiapan awal dengan mengenal pasti nama-nama yang diutamakan berdasar penilaian dan juga faktor kesihatan,” katanya ketika ditemui ketika menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf di Dun Kijang di sini semalam.

Sebelum ini Menteri Kesihatan Arab Saudi Dr Tawfiq al-Rabiah dilaporkan berkata antara syarat utama kemasukan jemaah haji pada Julai hadapan wajib mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Namun beliau tidak menyatakan jemaah dari luar Arab Saudi dibenarkan atau sebaliknya untuk menunaikan ibadat haji tahun ini.

Tahun lepas kerajaan Arab Saudi mengurangkan jumlah jemaah haji kepada 1,000 orang sahaja bagi mengelak penularan Covid-19.

Ahmad Marzuk juga berkata, jumlah kuota terkini masih belum diumumkan kerajaan Arab Saudi.

“Kita akan penuhi syarat-syarat yang ditetapkan Arab Saudi terutama berkaitan suntikan vaksin yang diperlukan bakal jemaah haji,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 4/5/2021

- Advertisement -