PRK DUN Melor ditangguh

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melor, Kelantan yang sepatutnya diadakan susulan kematian penyandang kerusi itu Dr Md Yusnan Yusof ditangguhkan, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak.

Advertisement

“Memandangkan Proklamasi Darurat yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 11 Jan 2021 [P.U.(A) 7/2021] dan peruntukan Seksyen 13 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 berkaitan Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri yang sedang berkuat kuasa maka Pilihan Raya Kecil bagi DUN N.23 Melor, Kelantan ditangguhkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Kelantan Datuk Abdullah Ya’kub berhubung kekosongan luar jangka kerusi DUN itu, semalam.

Perkara 46(5) Bahagian Pertama Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan telah memperuntukkan yang kekosongan sesuatu kerusi DUN Kelantan perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan kerusi tersebut.

Semalam, Abdullah mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Melor susulan kematian Md Yusnan pada 30 April lepas.

Md Yusnan, 53, meninggal dunia di rumahnya di Melor, Kelantan pada 2.28 pagi akibat serangan jantung.

Beliau memenangi kerusi DUN Melor bagi dua penggal berturut-turut iaitu pada Pilihan Raya Umum ke-13 dan ke-14. – BERNAMA