Demokrasi dan tanggungjawab kolektif

- Advertisement -

3 TAHUN lalu saya putuskan untuk bertanding dalam pemilihan Majlis Peguam. 12 orang akan dipilih melalui kertas undian. Antara sebabnya selain ingin berbakti untuk profesion guaman, adalah untuk membawa suara yang sering disepikan.

Di meja-meja kantin ‘Basement’ Mahkamah, peguam-peguam sering mengkritik Majlis Peguam. Kenyataan itu tidak perlu, kenyataan ini terlalu Liberal, Majlis Peguam dikuasai kumpulan tertentu, Majlis Peguam gagal jaga kebajikan dan banyak lagi kata mereka. 

- Advertisement -

Hampir kesemua kritikan tersebut saya dengar, hadam dan bersetuju. Soalnya, apakah saya hanya mahu melatah di bawah tanpa cuba berbuat apa-apa. Lantas saya bertanding dan dengan izin Allah jua, terpilih. Di sini baru saya mengenal ‘item’ (barey).

Rupanya-rupanya, hampir separuh kritikan yang saya dengar sebelum ini tidak berasas. Terlalu banyak usaha dan gerak kerja yang dilakukan di belakang tabir tanpa ‘dikompang’. Kesemuanya untuk menjaga kebajikan peguam.

Keterbukaan juga sentiasa menjadi nadi. Hampir saban mesyuarat, keputusan-keputusan penting didebatkan hingga lewat petang. Bergaduh, bertegang leher itu sudah perkara biasa. Banyak juga yang saya tidak setuju.

Namun, berpegang kepada salah satu prinsip asas demokrasi iaitu tanggungjawab kolektif, saya laksana keputusan yang dibuat setelah didebat, walaupun hakikatnya secara peribadi saya tidak setuju. Tidak pula saya keluar mesyuarat dan buat kenyataan media bahawa saya tidak setuju dengan keputusan Majlis Peguam. Walaupun hati terkinja-kinja mahu lakukannya.

Saya hanya seorang, dan kepala seorang ini mungkin betul mungkin tidak. Kerana kita amalkan demokrasi, maka prinsip tanggungjawab kolektif ini harus sentiasa dipegang. Begitu juga dalam kerajaan. Kita tidak tahu apa yang didebatkan dalam Mesyuarat Kabinet. Kita tidak tahu siapa setuju siapa tidak mengenai sesuatu keputusan. Kita juga tidak tahu siapa bertegas dengan prinsip dan siapa mudah melompat.

Yang kita tahu adalah dasar yang telah siap. Dari situ kita menilai ia sesuai atau tidak, kita suka atau tidak. Maka adalah tidak bijak jika kita meletak kesemua kesalahan sekiranya ada di atas pundak manusia tertentu. Kerana kita tidak tahu apa yang diperjuangnya di belakang tabir. Apa yang ditegurnya mengikut saluran dalaman? Apa yang didakwahnya kepada anggota lain? Apa yang diperdebat dan dipertegas di dalam perbincangan?

Tambahan pula tiada audio perbualan telefon yang direkodkan, atau dinafikan. Saya juga pernah terkilan, setelah menjadi ahli Majlis Peguam, dihentam – 

Apa ini kata nak bawa perubahan, tapi sama saja? Apa ini Majlis Peguam tak runding dengan Insuran kah untuk diskaun? Apa ini Majlis Peguam tak boleh hapuskan bayaran PC semasa pandemik? Apa ini Majlis Peguam tak buat kenyataan berkenaan isu ini?

Dan sebagainya. Walhal hakikatnya semua yang ditanya itu sama ada telah diperdebat hangat, atau telah dilaksanakan.

‘Saudara ada baca email Majlis Peguam?’
‘Saya tak buka email’
‘Semua telah diberitahu saudara. Dengan terperinci’.

Itulah cabaran berpegang kepada tanggungjawab kolektif. Kita akan sentiasa terbuka untuk disalaherti. Yang penting, dalam memimpin, laksanakanlah amanah sedaya mungkin. Bagi pengkritik pula, rasionallah. Kritiklah secara khusus individu yang terlibat langsung dengan pelaksanaan tertentu, sekiranya beliau gagal. Paling baik, jom sama-sama menyumbang sedaya bantu. Paling tidak, undilah yang kita rasakan jujur dan mampu.

Wallahu’alam.

YUSFARIZAL YUSSOFF – HARAKAHDAILY 4/5/2021

- Advertisement -