Bumbung rumah penduduk diterbang ribut ke sawah

- Advertisement -

ARAU: Mangsa ribut di Kampung Dato Ahmad Musa, Zairul Azhar Ahmad Rodzi memberitahu pusaran angin kencang datang dari pelbagai arah berlaku dengan pantas petang semalam.

“Kejadian berlaku semasa kami sekeluarga hendak berbuka puasa, tiba-tiba kedengaran bunyi seperti meletup.

“Memang kuat sungguh bunyi tersebut, rupa-rupanya bahagian belakang rumah saya sudah runtuh,” katanya ketika ditemui hari ini.

- Advertisement -

Ribut yang melanda semalam menyebabkan sebanyak 24 rumah penduduk mengalami kerosakan terutamanya di bahagian atap dan dinding.

Seorang lagi mangsa ribut Mohd Soleh Hamid pula berkata, belum sempat keluarganya menjamah makanan kedengaran bunyi kuat di ruang tamu.

Katanya ketika itu bumbung di bahagian ruang tamu dibawa angin masuk ke dalam sawah di belakang rumahnya.

“Semasa azan Maghrib dilaungkan, belum sempat menghabiskan bacaan doa tiba-tiba kedengaran bunyi kuat di bahagian ruang tamu.

“Rupanya, bumbung di bahagian ruang tamu rumah saya dibawa angin kencang masuk ke dalam bendang,” ujarnya yang tinggal di Kampung Dato’ Ahmad Musa.

Adun Sanglang Mohd Shukri Ramli berkata, sebanyak tujuh rumah terjejas teruk dan bantuan segera disalur bagi meringankan beban mangsa.

“InsyaAllah kita akan berusaha untuk membaiki kerosakan yang berlaku sebelum menjelangnya sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” ujarnya ketika ditemui semasa ziarah ke rumah mangsa ribut di Kampung Serdang.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Perlis, Dato’ Surina Saad berkata pihaknya menerima 27 laporan bencana angin ribut sejak 8 malam hingga 10 pagi tadi.

Beliau turut meminta mangsa yang terlibat untuk segera tampil membuat laporan bagi membolehkan tindakan lanjut dapat diambil oleh agensi berkaitan.

“Saya juga menasihati mangsa supaya menjaga keselamatan diri dan keluarga serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak penularan wabak Covid-19,” ujarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri Perlis (MAIPs), Ustaz Mohd Nazim Mohd Noor berkata, kejadian pada Maghrib semalam melibatkan 11 kampung di kawasan Simpang Empat, Sanglang dan Guar Sanji. – HARAKAHDAILY 4/5/2021

- Advertisement -