Bincang operasi haji, umrah semasa berbuka

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Memenuhi jemputan adalah satu perkara yang sangat dituntut dalam Islam, kata Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary

- Advertisement -

Katanya, ia bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta menambah kemesraan, memupuk kerjasama dan bantu membantu selain mengukuhkan perpaduan dalam kalangan umat Islam.

Menurutnya lagi, memenuhi jemputan merupakan hak Muslim ke atas Muslim seperti yang terkandung dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud, Dan apabila dia menjemput kamu (ke sesuatu majlis) maka hendaklah kamu menerimanya (menghadirinya).

Justeru, sejurus tiba dari Labuan, beliau terus bergegas ke rumah duta Arab Saudi ke Malaysia, Dr. Mahmoud Hussein Saeed Qattan bagi memenuhi undangan majlis berbuka puasa.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Sheikh Abdul Rahman Al Robaian Atase Agama di kedutaan.

Marzuk berkata, banyak perkara yang diperbincangkan semasa majlis berlangsung seperti pengoperasian haji dan umrah dalam musim Covid-19, dasar hubungan luar Arab Saudi dan termasuklah perbezaan pandangan antara Sunni dengan Syiah.

Tambahnya, beliau dan duta Saudi itu amat bersetuju supaya hubungan yang erat antara dua kerajaan yang bersaudara ini seharusnya dikekalkan malah diperkukuhkan dari semasa ke semasa.

“Saya dimaklumkan bahawa TYT Duta akan berangkat pulang ke Arab Saudi dan memohon beliau mendoakan kami di Malaysia agar sentiasa dilindungi Allah SWT,” katanya menerusi laman Facebook beliau, hari ini.

Sebelum mengakhiri pertemuan, beliau sempat memberikan buah tangan dari Labuan untuk diberikan kepada Dr. Mahmoud Hussein. – HARAKAHDAILY 4/5/2021

- Advertisement -