Berita palsu: Kerajaan perlu bertindak segera

Mohammad Tawfik Yaakub
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penyebaran berita palsu hari ini semakin menjadi-jadi dan perlu ditangani segera oleh kerajaan.

- Advertisement -

Pensyarah Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, penyebaran berita itu tidak hanya melibatkan isu-isu berkaitan Covid-19 tetapi turut meliputi hal ehwal ekonomi dan politik.

“Ketegasan kerajaan mengenakan tindakan undang-undang dan menyiarkan individu-individu yang menyebarkan berita palsu berkenaan perlu dilakukan segera.

“Menerusi tindakan ini, mereka yang telah terlibat dan masih teragak-agak untuk menyebarkan berita palsu akan lebih waspada pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, keadaan negara berada dalam darurat hari ini, kerajaan boleh menggunakan peluang untuk meminda undang-undang sedia ada dengan menambah hukuman.

Tambahnya, ia agar menjadi peringatan keras kepada semua bahawa berita palsu sangat bahaya kepada ketenteraman rakyat dan boleh mencetuskan keadaan panik.

“Bagi saya sudah cukup kerajaan bertoleransi selama ini. Saya faham kerajaan sangat berhati hati ketika bertindak, namun dalam hal melibatkan berita palsu dan fitnah, hukuman yang berat perlu dikenakan.

“Saya mencadangkan agar hukuman penjara seumur hidup perlu diperkenalkan kerana penyebaran berita palsu adalah satu jenayah besar yang boleh merosakkan institusi masyarakat dan negara berpotensi memasuki situasi kucar-kacir,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berpandangan tidak ekstrem jika hukuman penjara seumur hidup diperkenalkan dan dikenakan kepada pesalah-pesalah yang menyebarkan berita palsu.

“Ini membuktikan kita serius dan sangat memerlukan masyarakat yang mempunyai etika serta kebertanggungjawaban sebagai warga negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/5/2021

- Advertisement -