Ulama, mufti perlu dihormati, bukan dikeji

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia menyeru seluruh rakyat untuk sama-sama kembali meletakkan rasa hormat kepada ulama dan mufti biarpun tidak bersetuju dengan pendapat mereka.

Ketuanya, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, seharusnya rakyat Malaysia menilai kembali kata-kata kejian dan nista yang dilemparkan kepada mufti mahupun ulama.

“Adakah sesuai dihamburkan kepada seorang manusia ilmuan yang memberi pendapat berdasarkan ilmunya,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

- Advertisement -

Beliau berkata, sesungguhnya manusia yang dianugerahi akal dan dipagari dengan iman, tidak akan mengikut pertimbangan emosi semata-mata apabila membaca berita atau tulisan di media massa yang ditulis berdasarkan tuduhan semata.

Tambahnya, Allah telah memberi peringatan dalam surah An-Nur, ayat 19 yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).

Katanya, buat masa ini rakyat harus belajar bertenang dan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelak daripada jangkitan terus merebak dengan lebih cepat.

Menurutnya lagi, SOP yang ditetapkan bukanlah suatu yang sengaja dibuat untuk menyusahkan tetapi untuk memastikan rakyat boleh terus hidup seperti biasa namun dalam keadaan selamat.

“Sesungguhnya bulan puasa bukan sahaja kita tidak minum dan makan tetapi juga kita berpuasa daripada berkata yang tidak baik dan menulis yang bukan-bukan,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 3/5/2021

- Advertisement -