Terpulang SPR tentukan PRK Dun Melor – Speaker

- Advertisement -

KOTA BHARU: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan menyerah sebarang keputusan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) sama ada diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) atau sebaliknya berikutan kekosongan kerusi Dun Melor.

Dato’ Abdullah Ya’kub berkata, mengikut perkara 46(5) bahagian pertama Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan memperuntukkan apabila berlaku kekosongan kerusi mana-mana Dun, maka Speaker akan memaklumkan atau menghantar surat secara rasmi kepada SPR.

Katanya, pemakluman itu dalam tempoh 60 hari daripada tarikh SPR mendapati kerusi tersebut kosong, maka SPR perlu mengisi kekosongan itu.

- Advertisement -

“Jadi saya akan membuat pemakluman secara rasami dan terserah kepada SPR samaa ada ingin mengadakan Pilihanraya atau tidak,” katanya pada sidang media di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

Pada sidang media itu beliau memaklumkan menerima sijil kematian Allahyarham Dr Md Yusnan Yusof dari Pejabat Pendaftaran Negara (JPN).

Awal pagi Jumaat lepas Dr Md Yusnan yang juga Adun Melor meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung.

Arwah memenangi Dun Melor dua penggal berturut-turut iaitu pada Pilihan Raya Umum ke-13 dan ke-14. Allahyarham meninggalkan seorang balu Ustazah Romaini Mat Daud, 52 dan enam orang anak.

Sebelum ini PRK Dun Bugaya dan parlimen Batu Sapi serta Gerik kosong berikutan kematian wakil rakyat. PRK Batu Sapi asalnya dijadualkan diadakan pada 5 Disember 2020.

Manakala PRK Bugaya dan Gerik pula 16 Januari 2021. Bagaimanapun ketiga-tiga PRK tersebut ditunda berikutan kerajaan mengisytiharkan proklamasi darurat pada Jenuari lepas. – HARAKAHDAILY 3/5/2021

- Advertisement -