Setuju cadangan operasi bersepadu tutup kilang haram

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang Bertanggungjawab Mengenai Alam Sekitar (MEXCOE) hari ini bersetuju dengan cadangan mewujudkan operasi bersepadu untuk menutup kilang haram melalui kerjasama kerajaan negeri.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata di bawah cadangan itu, melalui mesyuarat Bil 1/2021 secara dalam talian yang dipengerusikan beliau, turut dipersetujui ialah langkah mengaktifkan pasukan petugas diketuai pihak berkuasa tempatan (PBT) dan melibatkan agensi lain yang berkaitan.

Advertisement

“Pasukan petugas ini akan menjalankan operasi bersepadu sekurang-kurangnya dua kali setahun. Usaha menutup kilang haram amat penting untuk mencegah pencemaran terutama pencemaran sungai dan pembakaran terbuka,” menurutnya dalam kenyataan.

Beliau berkata cadangan itu adalah antara lima kertas pertimbangan yang dipersetujui dalam mesyuarat MEXCOE hari ini.

Empat lagi cadangan dipersetujui ialah penyerahan aset infrastruktur tanah gambut kepada kerajaan negeri di bawah Program Mencegah Kebakaran Tanah Gambut bagi mengatasi isu jerebu di negara ini dan pelaksanaan perolehan hijau kerajaan serta inisiatif hijau di peringkat negeri dan PBT.

Selain itu pemerkasaan bandar rendah karbon dan tindakan perubahan iklim di seluruh negara serta pembangunan dasar dan garis panduan berkaitan mekanisme pasaran karbon negara.

Tuan Ibrahim berkata dalam mesyuarat itu juga, beliau menekankan bahawa komitmen serta kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri adalah penting dalam usaha memantapkan tadbir urus alam sekitar negara demi menjana kekayaan baharu serta meningkatkan kesejahteraan rakyat ke arah pembangunan lestari. – BERNAMA