‘Sebagai ikon integriti, saya junjung hingga akhir hayat’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, beliau yang dipilih sebagai ikon integriti dan antirasuah akan menjunjungnya sehingga akhir hayat.

- Advertisement -

Katanya, pemilihan itu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa masih menjawat jawatan Mufti.

“Pemilihan saya sebagai Ikon Integriti dan Antirasuah Negara 2019 oleh SPRM semasa saya masih menjawat jawatan Mufti adalah satu amanah yang akan saya junjung hingga ke akhir hayat,” tulisnya dalam satu hantaran melalui laman Facebook beliau, hari ini.

Menurutnya, kempen #RasuahBusters dan #MakKataJangan yang digerakkan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub adalah usaha yang amat baik bagi membentuk masyarakat berbudaya anti rasuah.

“Malaysia dikenali kerana integriti, dan bukannya rasuah. Itulah semangat yang wajar disambut bersama dalam Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023,” katanya.

Pagi tadi, beliau melancarkan Pelan Antirasuah Organisasi JAKIM 2021-2025 di Kompleks Islam Putrajaya. Turut hadir menyaksikan pelancaran adalah Ketua Pengarah SPRM, Datuk Seri Azam Baki.

Beliau berkata, selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), adalah menjadi tanggungjawab untuk memastikan setiap agensi di bawahnya melaksanakan inisiatif pelan antirasuah sebagaimana yang telah ditetapkan.

“Menariknya Pelan Antirasuah Organisasi (OCAP) JAKIM 2021-2025 adalah pengaplikasian pendekatan maqasid syariah sebagai langkah dalam mempertingkatkan governans dan integrity,” ujarnya.

Tambahnya, ia berperanan dalam pelaksanaan analisis persekitaran dan penilaian risiko rasuah, seterusnya ke arah perangkaan pelan tindakan pencegahan rasuah dalam tadbir urus. – HARAKAHDAILY 3/5/2021

- Advertisement -