‘Riders’ Foodpanda diraikan Ustaz Zuridan

- Advertisement -

JERANTUT: ADUN Damak, Ustaz Zuridan Mohd Daud telah meraikan anak-anak muda para bekerja Foodpanda sempena Hari Pekerja dalam majlis ringkas diadakan di Tasnim Corner, Pekan Jerantut, di sini.

- Advertisement -

Walaupun cuaca gerimis, namun majlis yang berlangsung secara sederhana dan santai itu dapat dilaksanakan dengan lancar melibatkan kehadiran lebih 15 pekerja Foodpanda dari daerah ini, kelmarin.

Majlis diadakan bagi menyatakan penghargaan di atas jasa dan sumbangan mereka dalam memberi khidmat kepada masyarakat terutama di dalam bulan Ramadan dan keadaan pandemik COVID-19 ketika ini.

Majlis juga diserikan dengan kehadiran Jawatankuasa Sekretariat DUN Damak dan Ketua Pemuda PAS Kawasan Jerantut, Mhd Nu‘man Al‘muqarrin Mhd Khairudin yang beramah mesra dan memberi sedikit sumbangan.

Beliau melahirkan rasa teruja dan berterima kasih di atas jasa pekerja-pekerja Foodpanda ini yang sentiasa memberi perkhidmatan yang terbaik walaupun terpaksa meredah hujan dan panas.

Ustaz Zuridan dalam ucapannya meminta agar semua pekerja-pekerja Foodpanda sentiasa berhati-hati semasa bekerja dan menjaga kesihatan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Bekerja adalah satu ibadah. Rezeki yang dicari melalui cara yang halal sentiasa lebih dari cukup walaupun zahirnya nilai itu kelihatan kecil,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Foodpanda Jerantut , Mohamad Haziq Zahari berkata, jemputan ini sangat menggembirakan mereka kerana selama kami bekerja, inilah kali pertama diraikan seperti ini dan tidak menyangkanya.

Manakala, seorang pekerja Foodpanda wanita, Madihah Hasan, 23 berkongsikan detik awal beliau dihubungi oleh ketuanya untuk menerima cenderahati dan sumbangan daripada wakil rakyat, Ustaz Zuridan.

Beliau melahirkan rasa syukur dan gembira kerana penghargaan ini sebenarnya membuka mata masyarakat bahawa bekerja sebagai penghantar makanan ini juga penting dan bukan mudah.

“Kami sentiasa berhadapan dengan risiko keselamatan semasa menunggang motorsikal selain berhadapan dengan berbagai karenah pelanggan. Kami sudah biasa dimarahi pelanggan sekiranya terlewat atau tersilap hantar makanan.

“Tapi tidak mengapa, kami akan perbaiki. Namun, penghargaan ini sangat bermakna buat kami. Terima kasih YB,” ujarnya dengan senyuman.

Pada mahlis itu Ustaz Zuridan memberikan mereka cenderahati dan ajlis diakhiri dengan sesi bergambar bersama pekerja-pekerja Foodpanda Jerantut itu sebelum waktu berbuka puasa. – HARAKAHDAILY 3/5/2021

- Advertisement -