Pelan Antirasuah Organisasi JAKIM 2021-2025 dilancar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengadakan Majlis Pelancaran Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) JAKIM 2021-2025 yang disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, hari ini.

- Advertisement -

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, majlis itu diadakan dalam bentuk norma baharu dengan mengamalkan SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Turut sama menyaksikan majlis tersebut ialah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki.

Menurutnya, Pelan Antirasuah Organsiasi (OACP) JAKIM (2021-2025) merupakan komitmen jabatan dalam mendukung aspirasi dan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang dikenali kerana integritinya, bukan kerana rasuah.

Katanya, ia selaras dengan dasar yang dinyatakan dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP 2019 – 2023) di bawah Objektif Strategik 2.1 iaitu ‘Merekayasa Perkhidmatan Awam Ke Arah Tadbir Urus Baik’.

“Pendekatan maqasid syariah telah digunakan dalam melaksanakan analisis persekitaran dan penilaian risiko rasuah, seterusnya  merangka inisiatif dan pelan tindakan pencegahan rasuah dalam penambahbaikan tadbir urus JAKIM,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, perancangan lima tahun (2021-2025) yang digariskan dalam Pelan OACP JAKIM itu menzahirkan usaha pencegahan rasuah merangkumi aspek governans, integriti dan antirasuah. – HARAKAHDAILY 3/5/2021

- Advertisement -