Mesrai warga Alam Flora di ‘Food Bank’ DUN Ketari

- Advertisement -

BENTONG: Pogram Kasih Ramadan yang dianjurkan Pertubuhan Kebajikan dan Prihatin Insan Bentong telah diadakan pekarangan Pusat Operasi Food Bank DUN Ketari di Kampung Ketari, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Program agihan sumbangan kit keperluan harian sempena Ramadan dan menjelang Aidil Fitri ini khusus menyantuni para asnaf dan juga muallaf dalam kalangan kakitangan Syarikat Alam Flora Bentong.

Ketua Pemuda PAS Kawasan Bentong, Muhammad Naqib Sahimi diiringi pasukan bantu DUN Ketari memimpin inisiatif kebajikan yang bertujuan meringankan beban golongan memerlukan ini.

Menurut beliau, ia satu tanda penghargaan anak muda kepada warga Alam Flora yang berkhidmat memastikan kebersihan, keindahan dan kelestarian Bandar Bentong sentiasa terjaga dan terpelihara.

“Program diadakan di premis ‘Food Bank’ DUN Ketari dengan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dimana para penerima hanya ‘pick and go’ sahaja sumbangan tersebut,” ujarnya.

Penyelaras DUN Ketari, Ustaz Roslan Mad Esa yang turut hadir memberi sokongan berharap dengan adanya ‘Food Bank‘ ini akan dapat dimanfaatkan sebaiknya kepada pihak-pihak memerlukan.

“Terima kasih tidak terhingga kepada Pengerusi JKKK Ketari, Haji Al Fadzilah Ariffin dan ahli jawatankuasanya atas sokongan dan dokongan terbaik merealisasikan kewujudan dan pengoperasian ‘Food Bank‘ ini,” ujar beliau usai penyampaian 30 kit sumbangan itu.

‘Food Bank’ DUN Ketari baru sahaja membuka pusat operasinya beberapa bulan lalu bertempat di Pejabat JKKK Ketari dan telah mengadakan beberapa program seumpama sebelum ini. – HARAKAHDAILY 3/5/2021

- Advertisement -