LPN giatkan dakwah ke desa Orang Asal

- Advertisement -

PEKAN: Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) Muslimat PAS Negeri Pahang telah mengadakan program ‘Kindness Share Ramadan’ di perkampungan Orang Asal di Kampung Batu Gong dan Kampung Dusun, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Program dengan kerjasama LPN Muslimat PAS Kawasan Pekan ini bertujuan membantu meringankan kesulitan dalam kalangan asnaf Orang Asal terutama dalam bulan Ramadan ini selain mendekati suku kaum mereka.

Ia juga sebagai mendidik jiwa ihsan terhadap golongan asnaf terutama sesama Muslim tanpa batasan kaum, selain memperkenalkan PAS sebagai wadah dakwah dan kebajikan, selain politik.

Yang Dipertua PAS Pekan, Ustaz Abu Kassim Manaf telah meluangkan kesempatan menyempurnakan perasmian majlis disusuli ucapan Pengerusi LPN Muslimat Pahang, Maskhazila Ismail.

Turut sama berucap adalah Ketua Muslimat PAS Pekan, Ustazah Rohana Mohamad sebelum sesi tazkirah khas oleh Timbalan Yang Dipertua PAS Pekan, Ustaz Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang juga Pengerusi LPN PAS Pekan.

Hadir sama ialah Pengerusi LPN Muslimat PAS Pekan, Kamariah Ishak dan Timbalan Ketua Muslimat PAS Pekan, Dr Harison Mohd Amin dan para petugas anggota-anggota Jabatan Amal Malaysia Pekan.

Pada program inu juga telah disampaikan bantuan khas ke surau-surau kampung terbabit selain 31 wakil ketua keluarga penduduk di mana mengandungi barangan asas bernilai RM100 dan makanan sejuk beku dari tajaan penyumbang.

Rombongan turut menjengah melihat sebuah surau yang dibina oleh pihak PAS Pekan bagi aktiviti dakwah Islam dalam menyemarakkan ilmu dan amal ibadah dalam kalangan penduduk Islam Orang Asal di situ.

Ustaz Fadhil dalam ucapannya terus membangkitkan motivasi untuk memburu kelebihan 10 hari terakhir Ramadan yang diserunya supaya menggandakan amal ibadah dengan sebaik mungkin.

“Kita ada berbaki 10 hari lagi menghampiri penghujung Ramadan. Ayuh kita bersama-sama beribadah agar bertemu malam Lailatul Qadar,” ujarnya mengupas kelebihan 1,000 bulan pada malam itu.

Turut bersama dalam konvoi ke Pekan ini adalah Ahli-ahli Jawatankuasa LPN Muslimat PAS Kawasan Indera Mahkota. – HARAKAHDAILY 3/5/2021


- Advertisement -