Kecewa

- Advertisement -

DUA isu yang hangat diperkatakan. Pertama isu pandangan Mufti mengenai rentas negeri. Saya baca ulasan Mufti dan komen kemarahan beberapa orang. Ternyata, pandangan Mufti jelas bersandar dalil dan nas ilmiah agama.

Kemarahan beberapa kerat itu ternyata gelombang kecewa dari perasaan. Apabila bertembung antara nas dan perasaan, tak perlu gusar membuat penilaian. Ianya jelas seperti cahaya di tengahari.

- Advertisement -

Kedua, isu ucapan perpisahan Ketua Polis Negara (KPN). Ucapan itu penuh dengan ‘pendedahan kecewa’, harapan setelah tiada kuasa. Saya ikuti ucapan itu. Saya kagumi pada intinya. Namun merubah situasi yang telah menjadi rasmi dalam susunan peraturan ‘siapa berkuasa’ terhadap polis. Bukan masanya.

Semua orang tahu kuasa Menteri Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai Pengerusi. Semua yang cerdik tahu jika itu keputusan Pengerusi. Ia tak dipanggil campur tangan. Ia sememangnya kuasa Pengerusi mengatur dan mencatur keputusan dalam mesyuarat.

Soal siapa bergelumang bukan isu kerana sistem kerja tidak mengenal isu ini. Paling melucukan bekas KPN seakan terlupa diri sendiri. Beliau seorang polis pencen yang bukan Timbalan Ketua Polis. Tiba-tiba Kerajaan PH ‘kutip’ beliau ke jawatan KPN. Saya tak tahu kalau itu bukan campur tangan politik.

Isu-isu lain yang dibawa seolah-olah dia baru dilantik sehari dan dipecat dari jawatan. Kenapa sewaktu di puncak kuasa dia bisu dan kelu? Beliau menyentuh soal lompat parti kononnya untuk buktikan kelemahan yang perlu dibaiki. Tidakkah dia seorang KPN yang berkuasa. Jika ada rasuah atau penyelewengan kuasa, dia perlu membuat laporan kepada SPRM. Mungkin beliau sibuk ketika itu. KPN yang baru dilantik miliki kelayakan sendiri kerana beliau memang Timbalan KPN. Tidakkah di sudut hierarki sememangnya Timbalan paling layak dan bukannya pegawai pencen yang telah bersara. 

Saya simpulkan. Kedua isu di atas ada persamaan. ‘Kekecewaan’ dari perasaan, bukan hujah dan kebenaran. Apapun, sesuatu yang lahir dari perasaan mampu menarik simpati berbanding hujah ilmu. Apatah lagi ada air mata yang menghiasi warna dan bahasa. Sangat sempurna hingga dilupa asas dan fakta yang tertulis atas kertas selama ini.

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik
Pesuruhjaya PAS Perak – HARAKAHDAILY 3/5/2021

- Advertisement -