JKN Kelantan beku cuti raya 14,000 pegawai, kakitangan

KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) telah membekukan cuti kesemua 14,000 pegawai dan kakitangannya sebagai persiapan bagi penugasan menangani pandemik Covid-19.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata langkah itu diambil berikutan situasi kes harian di Kelantan masih mencecah tiga angka sejak dua minggu lepas.

Advertisement

“Kerjasama anggota petugas dalam tempoh keadaan sekarang amat diperlukan bagi memastikan rakyat Kelantan yang terjejas disebabkan Covid-19 dapat dirawat sebaik mungkin.

“Selain itu, dari segi pengurusan sumber manusia Kementerian Kesihatan (KKM) juga telah membantu dengan menggerakkan petugas kesihatan dari seluruh Malaysia secara berkala untuk membantu kita di Kelantan termasuk petugas dalaman di hospital daerah dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melakukan tinjauan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian hari ini.

Hadir sama Pengarah PKRC Kelantan Dr Mohd Azman Yacob dan Pengarah Hospital USM Profesor Datuk Dr Ahmad Sukari Halim.

Ditanya sama ada petugas kesihatan dari Kedah di Kelantan mungkin dihantar semula ke Kedah susulan peningkatan Covid-19 di negeri itu, Dr Zaini berkata pihaknya telah menyusun strategi bagi menghadapi sebarang kebarangkalian.

“Antara strategi, sekiranya mereka dihantar pulang, kita akan menggerakkan petugas sedia ada termasuk petugas dari Hospital USM untuk menggembleng tenaga di Kelantan dan saya percaya KKM akan menggantikan mereka dengan petugas dari negeri lain,” katanya.

Untuk rekod, Kelantan mencatat 400 kes harian baharu Covid-19 dengan 34 kluster yang masih aktif setakat semalam.

Dr Zaini juga berkata PKRC di Kampus Kesihatan USM yang mampu menempatkan 500 pesakit lelaki akan menerima 150 pesakit Covid-19 pada 4 petang ini. – BERNAMA