Impian miliki rumah berkecai selepas suami meninggal

- Advertisement -

PASIR MAS: Impian sebuah keluarga untuk memiliki kediaman yang lebih sempurna tidak menjadi kenyataan selepas ketua keluarga meninggal dunia akibat serangan jantung.

- Advertisement -

Sulliana Sulaiman, 38, dari Kampung Tok Sangkut yang baharu kehilangan suami lebih sebulan lepas, kini terpaksa mencari sendiri rezeki bagi membesarkan enam anaknya.

Sekarang beliau mengambil upah sebagai pemotong ayam dengan pendapatan kira-kira RM70 seminggu.

Terpanggil dengan kesukaran hidup keluarga terbabit Ahli Parlimen Pasir Mas Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menziarahi keluarga berkenaan baru-baru ini bagi melihat dari dekat kesukaran mereka.

Ketika ditemui katanya, beliau berusaha membantu menyiapkan rumah armalah terbabit dengan kos kira-kira RM20,000.

“Pembinaan rumah berkenaan akan dijalankan selepas Aidilfitri ini. Proses penilaian akan dibuat segera supaya pembinaan rumah tersebut dapat dijalankan dalam tempoh terdekat.

“Keluarga berkenaan amat wajar dibantu memandangkan kedaifan hidup mereka sekeluarga,” katanya selepas melawat keluarga terbabit baru-baru ini.

Turut hadir Penghulu Mukim Tok Sangkut Muhammad Mohd Zain.

Sulliana juga mempunyai seorang anak Shafiqah Izzati Ilias yang belajar di Sekolah Menengah Ugama (SMU) (Arab) Diniah Bongor, tidak jauh dari rumah mereka.

Shafiqah Izzati merupakan pelajar cemerlang di sekolah itu dalam peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU) baru-baru ini.

Ahmad Fadhli juga berkata, beliau mendapat maklumat mengenai keluarga terbabit daripada guru SMU (Arab) Diniah Bongor.

“Setelah saya mendapat maklumat berhubung keluarga terbabit daripada guru sekolah tersebut membolehkan saya datang untuk meninjau sendiri.

“InsyaAllah kita akan berusaha untuk membantu mendapatkan peruntukan bagi menyiapkan rumah keluarga terbabit,” ujarnya.

Manakala orang ramai yang ingin membantu keluarga tersebut boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Islam – 03027020619893 atas nama Sulliana Sulaiman atau menghubungi Izzati di talian +60 11-1614 2186. – HARAKAHDAILY 3/5/2021

- Advertisement -