Hak asasi dan tanggungjawab hakiki

- Advertisement -

RAMAI orang bercakap mengenai hak asasi dan kebebasan. Kebebasan bersuara, hak beragama, hak berpersatuan dan berpegangan dan sebagainya dilaungkan tanpa henti. Apa sahaja masalah disandar kepada pencabulan hak asasi.

Golongan terpencil yang songsang pemikiran dan pegangan juga menjerit hak asasi. Hak untuk menganut agama yang mereka cipta dari getaran pemikiran mereka, hak untuk mewujudkan orientasi sensual ketiga, keempat dan kelima, hak mencumbui sesiapa sahaja, hinggalah hak naik pelamin dengan anjing.

- Advertisement -

Semuanya atas nama hak asasi. Tidak kiralah sama ada mereka itu ada beberapa kerat sahaja. Soalnya, apa neracanya? Adakah semua yang kita rasakan sebagai sesuatu yang memuaskan nafsu dan keinginan kita, hak kita?

Kalau itu neracanya – menghisap dadah juga hak asasi bagi tahik dadah, berjudi juga hak asasi bagi tahik judi, merogol kanak-kanak juga hak asasi bagi binatang Paedophilia. Dan banyak lagi hak asasi. Kalau nafsu dan rasa berhak memenuhinya itu adalah hak asasi, manusia tidak akan jadi lebih daripada haiwan. Sedangkan haiwan juga ada undang-undang rimbanya.

Adakah neracanya suara majoriti? Dalam dunia media sosial dan teknologi, yang tular dan trending itu tidak semestinya betul. Selalunya salah. Maka apakah sandaran neraca kepada kemajoritian pemikiran itu tepat? Belum tentu. Justeru, apa neraca terbaik?

Menurut Islam, hak itu diimbangi dengan tanggungjawab. Tidak boleh berbicara mengenai hak tanpa berbicara mengenai tanggungjawab. Bahkan tanggungjawab itu adalah lebih utama. Nescaya, tanggungjawab yang dipenuhi akan menjamin hak.

Suami dan isteri masing-masing mempunyai tanggungjawab. Memberi nafkah adalah tanggungjawab. Sekiranya nafkah diberi, maka hak isteri tertunai. Jika tidak, barulah isteri berhak menuntut hak. Itu prosesnya yang indah. Maka neraca terbaik adalah mengimbangi hak dan tanggungjawab, bersandar panduan nas.

Kembali kepada golongan songsang. Adakah mereka penuhi apa-apa tanggungjawab? Pertamanya, tanggungjawab untuk berlaku adil kepada tubuh badan sendiri. Yang dijadikan tuhan dengan ciri-ciri tertentu dengan tuntutan biologi tertentu.

Setiap insan mempunyai tanggungjawab menggunakan anggota badannya sebaik mungkin dan menjaganya. Menggunakannya untuk tujuan asalnya, dan bukan menyalahguna dengan menyakitkannya. Dengan cara yang melanggar fitrah.

Setiap insan juga punya tanggungjawab memelihara maruah. Tanggungjawab berkelakuan sopan dan siuman di khalayak. Berpakaian tidak mengelirukan. Bagi golongan songsang, ini semua tidak penting. Mereka tiada tanggungjawab. Mereka hanya ada hak.

Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat PBB melihat separuh perspektif sahaja. Walaupun terdapat Deklarasi Tugas dan Tanggungjawab Manusia 1998, ia tidak komprehensif menggariskan tanggungjawab manusia kepada dirinya sendiri dan masyarakat.

Maka sebab itulah, pejuang hak asasi Barat terus-terusan menuntut hak-hak songsang yang mengabaikan tanggungjawab asas manusia ini. Pada akhir analisa, kita perlu lihat sama ada hak yang dilaung-laungkan itu mengabai tanggungjawab tertentu. Jika jawapannya ya, maka ia bukan hak lagi.

Kalau hak bersuara itu mengabaikan tanggungjawab menjaga sensitiviti, ia bukan lagi hak. Kalau hak orientasi mengabaikan tanggungjawab menjaga tuntutan biologi jantina asal dan reproduksi, itu bukan lagi hak. Kalau hak beragama itu mengabai tanggungjawab menjaga maruah dan kesihatan akal, maka ia juga bukan lagi hak. 

Kembalilah kepada Islam. Kembalilah kepada agama. Ternyata, dokumen yang paling komprehensif pada menyatakan hak dan tanggungjawab manusia adalah kitab suci al-Quran. Cukuplah ia sebagai pedoman untuk insan sepanjang zaman.

YUSFARIZAL YUSSOFF – HARAKAHDAILY 3/5/2021

- Advertisement -