‘Food Bank’ PAS DUN Ketari luaskan keprihatinan

- Advertisement -

BENTONG: PAS DUN Ketari dengan membawa tema ‘Berkebajikan Sepanjang Hayat’ telah mengambil inisiatif mewujudkan bank makanan atau ‘Food Bank’ rakyat sebagai satu lagi simbolik agenda kebajikan.

- Advertisement -

Langkah proaktif ini penting bagi memastikan kelangsungan hubungan dua hala antara PAS dan masyarakat yakni menyediakan platform kepada orang ramai berkongsi rezeki dan menyalurkan bantuan itu kembali kepada golongan sasaran.

Inisiatif murni dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan dan Prihatin Insan ini sejajar konsep ‘memberi dan menerima’ dan tuntutan ayat 2 surah al-Maidah yang dipedomankan kepada orang beriman untuk menurutinya.

“Bertolong bantulah kamu dalam perkara berkebajikan dan takwa dan janganlah bertolong bantu dalam perkara permusuhan.” Inilah yang menjadi pegangan asas dan motivasi kepada PAS DUN Ketari mewujudkan bank makanan ini,” Penyelaras DUN Ketari, Ustaz Roslan Md Esa.

Selaku penasihat dan juga individu penting pencetus idea kewujudan ‘Food Bank’ ini, beliau merasa sangat terharu terhadap sokongan diberikan banyak pihak terutama JKKK DUN Ketari walaupun ia baru beroperasi sejak dua bulan lalu.

“Konsep kami tak sama dengan konsep ‘Food Bank’ yang pernah diperkenalkan oleh ‘orang lama’ sebelum ini iaitu mengumpul lebihan makanan yang terdapat di pasar raya, dapur-dapur hotel dan restoran yang masih boleh dimakan dan diagihkan kepada golongan asnaf.

“Kami bertindak sebagai media perantara, mengumpul sumbangan dari rakyat, menyimpannya di tempat penyimpanan makanan dengan sistem pengurusan berekod dan menyalurkan kembali barang-barang makanan tersebut.

“Beras, tepung, sardin, susu dan lain-lain kepada rakyat yang memerlukan; itulah konsep kebajikan ‘bank’ kami. Sekalung penghargaan dan terima kasih tidak terhingga kami ucapkan kepada Pengerusi JKKK Kampung Ketari, Tuan Haji Al Fadzilah Ariffin.

“Beliau dan ahli jawatankuasanya di atas sokongan dan dokongan terbaik pada kewujudan dan pengoperasian ‘Food Bank’ ini,” jelas Roslan.

NGO Prihatin Insan dengan kolaborasi berberapa NGO lain seperti Cakne Rakyat, Khadijah dan Abrar Care Malaysia komited melaksanakan misi berkebajikan ini secara berterusan sejajar tema ‘Kesusahan Anda Keprihatinan Kami’ (Charity Beyond Boundaries).

“Impian saya secara khusus, mewujudkan ‘Food Bank’ ini disemua UDM dalam DUN Ketari dan merealisasikannya pula di peringkat Parlimen Bentong agar kita dapat terus membantu mereka-mereka yang memerlukan tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit,” harapnya yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Bentong.

‘Bank Makanan’ rakyat DUN Ketari ini membuka pusat operasi mereka bertempat di Pejabat JKKK Ketari dan telah melaksanakan beberapa aktiviti antaranya penyerahan 30 kit ramadan kepada asnaf terdiri warga Alam Flora Sdn Bhd, semalam

Sebarang sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank 5561 3206 5040 atas nama Pertubuhan Kebajikan dan Prihatin Insan Bentong. – HARAKAHDAILY 3/5/2021

- Advertisement -