Dong Jiao Zong cuba alih fakta sejarah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menegaskan bahawa Pertubuhan Pendidikan Dong Jiao Zong wajar sedar diri dahulu bahawa orang Cina yang berada di Malaysia dahulunya berasal dari kaum pendatang Tanah Besar China.

Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa berkata, mereka dibawa oleh Inggeris ke Tanah Melayu bagi tujuan buruh yang bekerja di lombong-lombong bijih timah.

Beliau menegaskan, ini adalah satu sejarah yang sangat tepat dan benar serta telah menjadi sejarah dunia, sebelum mereka mempertikaikan mata pelajaran sejarah silibus menengah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang dikatakan terlalu berpusatkan Melayu dan Islam.

Katanya, Dong Jiao Zong cuba mengalihkan fakta sejarah bahawa orang Cina adalah bukan pendatang di Tanah Melayu.

- Advertisement -

Menurutnya, mereka menolak buku sejarah silibus KPM dengan menulis serta merangka silibus sejarah baru untuk diajarkan kepada pelajar di sekolah pendidikan Dong Jiao Zong dan sekolah Cina yang lebih berkiblatkan negara China dan Taiwan.

“Inilah di antara sebab utama yang mewujudkan jurang polarisasi kaum, melebarkan jarak di antara kaum Cina dan Melayu di negara ini, yang menyebabkan berlakunya jurang perpaduan kaum yang besar dalam negara ini.

“Ini adalah kesan disebabkan oleh sistem pendidikan yang telah diterapkan di sekolah-sekolah Cina Dong Jiao Zong,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Oleh sebab itu, tambahnya kerajaan digesa untuk menutup sekolah Cina di bawah pertubuhan Dong Jiao Zong kerana mereka terbukti telah menolak aspirasi Falsafah Pendidikan Negara yang menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama juga sebagai bahasa perpaduan kaum di negara ini.

Beliau berkata, Sekolah Cina Dong Jiao Zong adalah penghalang kepada perpaduan kaum di negara ini kerana mereka menolak asas dan falsafah pendidikan negara.

Ini, ujarnya ditambah lagi dengan suntikan semangat anti Melayu dan Islam menggunakan lenggok bahasa Cina di sekolah sekolah mereka.

Menurutnya, gesaan pertikaian yang dibuat oleh Pertubuhan Dong Jiao Zong sudah membuktikan bahawa mereka melahirkan pemikiran yang tidak selari dengan aspirasi Pendidikan Negara serta aspirasi polisi dan dasar Perpaduan Nasional yang telah dilancarkan baru-baru ini oleh kerajaan.

Beliau menambah, perpaduan di negara ini tidak akan tercapai selagi mana adanya pertubuhan Pendidikan seperti Dong Jiao Zong yang keras dan tidak mengaku bahawa orang Cina di negara ini adalah kaum pendatang sewaktu masa dahulu yang telah pun diberikan taraf warganegara dengan ihsan dan pengorbanan besar orang Melayu dan Islam.

Oleh sebab itu, katanya Dong Jiao Zong jangan mempertikaikan lagi dan cuba untuk mengubah sejarah Melayu dan Islam di negara ini.

Ini, ujar beliau kerana ia akan menyerlahkan lagi sejarah orang Cina adalah sebenarnya kaum pendatang di negara ini. – HARAKAHDAILY 3/5/2021

- Advertisement -