Doa, ketegasan resepi penting didik anak

- Advertisement -

ARAU: Selain daripada doa, ketegasan merupakan salah satu resepi penting untuk menjamin kejayaan dalam mentarbiah sesebuah keluarga.

Penerima Anugerah Tokoh Ibu Mithali 2021 Perlis Datin Ustazah Sarah Rejab, 75 berkata dalam mendidik anak-anak beliau agak garang ketika anak berumur lima dan enam tahun.

“Selepas pulang sekolah wajib baca surat khabar tulisan jawi, jadi apabila pandai jawi mereka juga akan cepat baca al-Quran,” katanya ketika ditemui pada majlis penganugerahan di Masjid Negeri di sini semalam.

- Advertisement -

Beliau yang juga suri hati Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin dikurniakan lima cahaya mata iaitu Nabilah, Faiz, Hamimah, Nadia dan Husna.

Anugerah itu dianjurkan Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM) Perlis bertujuan menghargai peranan ibu sebagai salah satu anggota penting mendidik keluarga.

Program terbabit dirasmikan Pengerusi Jawatan Kuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Siti Berenee Yahaya.

Turut hadir Pengarah YADIM Perlis Ustazah Hafsah Hussain dan Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Ustazah Latifah Mat.

Anak sulung Sarah sekarang berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Kolej Mara Kuala Nerang, Kedah manakala kedua dan bongsu usahawan.

Anak ketiga dan keempat pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor dan UiTM Arau, Perlis.

Sarah juga berkata, pengorbanan seorang ibu bermula daripada saat kehamilan, melahir dan membesarkan anak.

Di samping kasih sayang ibu katanya doa menjadi elemen penting membesarkan anak sejak kecil sehingga dewasa.

“Cabaran memang banyak, anak lelaki cara anak lelaki, anak perempuan pula cara anak perempuan jika tidak sabar dengan kerenah mereka memang kita tidak dapat harungi,” ujarnya.

Hafsah pula berkata, pendidikan berlandaskan agama dapat menjamin kehidupan masyarakat yang lebih harmonis.

Sementara itu Amnah Abdul Rahman, 72 dan Haton Othman, 69 menerima Anugerah Ibu Mithali bagi kawasan Padang Besar dan Kangar.

Pada majlis yang sama, seramai 30 ibu tunggal turut menerima bantuan kit makanan sumbangan YADIM. – HARAKAHDAILY 3/5/2021

- Advertisement -